Izzah tumpu bina otot

Izzah tumpu bina otot

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakui sedang berusaha untuk melakukan pembentukan otot bagi meningkatkan lagi prestasinya ketika beraksi di atas trek.

Izzah berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk membentuk otot kerana ia memerlukan komitmen serta disiplin yang tinggi dalam soal pengambilan makanan serta rehat secukupnya.

“Sebenarnya pembentukan otot ini saya perlu bina sejak sebelum ini lagi, jadi sekarang masih dalam proses yang memerlukan disiplin tinggi.

“Untuk acara berbasikal sebenarnya tak ada berat yang spesifik diperlukan, tetapi sekurang-kurangnya seorang pelumba itu perlu membina otot. Sekarang berat saya adalah 52 kilogram (kg). Saya tak dimaklumkan berapa berat spesifik yang perlu ditambah, tetapi ia mungkin dalam anggaran 54kg,” kata pelumba mendapat gelaran The Pocket Rocketwomen itu.

Tambah Izzah, dengan pembentukan otot, ia diharap dapat membantu meningkatkan tenaganya apabila beraksi di pentas tertinggi sekali gus mampu mencabar barisan pelumba lain yang mempunyai susuk tubuh lebih besar.

“Ia mungkin boleh membantu saya memperbaiki catatan untuk mara ke pusingan seterusnya. Selebihnya dalam acara berbasikal trek adalah soal taktikal,” katanya.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Mohd Harnizam Basri sebelum ini berkata, Izzah mampu untuk menjadi antara yang terbaik di dunia sekiranya dia berjaya meningkatkan jisim otot.

Izzah ketika ini sedang dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan di Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye minggu lalu.

Masa rehat agak panjang itu dilihat memberi kelebihan buat dirinya dalam mengatur persiapan lebih rapi sebelum kembali menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan yang berlangsung 20 hingga 25 Mei depan.

“Kali ini saya berpeluang untuk luangkan masa betul-betul dengan keluarga untuk sambutan Aidilfitri sebab sebelum ini sering berjauhan dan tak terasa sangat apabila sambut hari raya,” katanya yang berasal dari Kedah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top