sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini bergelar gandingan nombor satu negara selepas melonjak empat anak tangga untuk berada di kedudukan nombor tiga dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Prestasi cemerlang beregu ‘jutawan’ negara itu di pentas Jelajah Dunia Akhir baru-baru ini sehingga berjaya mencipta sejarah wakil pertama dari Malaysia pentas final bagi acara berkenaan, membantu mereka mendapatkan mata yang lebih tinggi.
Bagi Izzuddin, kejayaan berada di ranking tertinggi itu juga begitu membanggakan mereka dalam misi memburu lebih banyak kejuaraan.
“Bagi sesetengah orang, mungkin ranking itu hanya nombor tapi bagi kami, ia motivasi untuk kami mendapatkan sesuatu kejayaan (kejohanan akan datang,” katanya.
Untuk rekod, Sze Fei-Izzuddin menampilkan aksi cemerlang musim ini apabila berjaya meraih tiga kejuaraan dan dua naib juara untuk membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sekurang-kurang RM1,553,369.
Sementara itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula jatuh satu anak tangga untuk berada di kedudukan keenam dunia.
Bagi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia juga berjaya naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan keenam dunia meskipun tidak berjaya mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir susulan kecederaan kaki.
Untuk beregu campuran negara, Chen Tang Jie- Toh Ee Wei melonjak ke tangga keenam dunia atas prestasi cemerlang mara final kejohanan berkenaan dan bagi pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula berada di ranking ketujuh dunia.
Bagi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kekal di kedudukan keenam dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




