Jabatan, agensi kerajaan di Pahang siap siaga hadapi banjir

Jabatan, agensi kerajaan di Pahang siap siaga hadapi banjir

am@hmetro.com.my

Kuantan : Semua jabatan dan agensi kerajaan di seluruh Pahang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri mengambil langkah persediaan lebih awal untuk memastikan tahap keselamatan dan kemudahan yang disediakan berada pada tahap terbaik.

“Kesiapsiagaan ini merangkumi langkah mitigasi risiko, penyelarasan operasi penyelamatan, aset logistik, penyenggaraan infrastruktur kritikal serta penyediaan pusat pemindahan sementara yang lebih tersusun.

“Semoga seluruh rakyat Pahang terutama di kawasan berisiko dapat bersiap sedia lebih awal dan mendengar arahan pihak berkuasa apabila diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh rakyat di negeri ini meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Baginda bertitah, persediaan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa terjamin.

“Semua pihak hendaklah mengambil langkah bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan awal kerana musibah banjir memerlukan kerjasama semua.

“Saya juga mahu kebajikan mangsa banjir dipelihara, termasuk aspek penyediaan makanan yang bersih, sihat dan baik kualitinya di PPS,” titah baginda.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri, termasuk Pahang sehingga 5 petang ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan amaran itu membabitkan lima daerah di Pahang iaitu Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top