Jabatan Kesihatan sedia kaunseling untuk keluarga, mangsa bot karam

Jabatan Kesihatan sedia kaunseling untuk keluarga, mangsa bot karam

Chukai: Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman menggerakkan tiga petugas untuk memberi sokongan psikologi kepada mangsa dan keluarga bot karam di perairan Kemaman.

Pegawai Perubatan dan Kesihatannya Dr Nadhirah Nazarudin berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan psikologi di pusat operasi pencarian di Pangkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman pada hari pertama kejadian.

Beliau berkata bantuan psikologi amat penting bagi memastikan mangsa dan keluarga terdekat tidak mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) akibat tragedi berkenaan.

“Selain rawatan fizikal, mangsa dan keluarga juga memerlukan bantuan psikologi atau psychology first aid (PFA) bagi mengelak trauma berpanjangan yang boleh mengakibatkan PTSD.

“Setakat ini kita dah menjalankan beberapa sesi kaunseling kepada mangsa dan keluarga terdekat yang terlibat. Alhamdulillah mereka dalam keadaan tenang walaupun masih bersedih dan terkejut,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Dr Nadhirah turut menasihatkan saudara-mara dan rakan-rakan supaya tidak terlalu mengganggu serta memberi ruang kepada mangsa serta keluarga mereka untuk bertenang.

“Kita faham saudara-mara serta keluarga mungkin prihatin. Tetapi tindakan itu ada kalanya menambah kerisauan mangsa dan keluarga yang sudah sedia terbeban dengan kesedihan,” katanya.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top