am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah mengenalpasti 26 sekolah seluruh negeri ini yang mempunyai kesukaran pelaksanaan solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak 15 sekolah dikenalpasti di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan bakinya di bawah JAINJ.
Katanya, menerusi mesyuarat dan sesi libat urus berhubung permasalahan itu, Jabatan Mufti Johor mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah bagi penyelesaian isu terbabit.
“Sebanyak 15 sekolah di bawah JPNJ dan 11 sekolah di bawah JAINJ dari pelbagai daerah mengalami sedikit kesukaran. Sekolah terbabit memohon kebenaran Jabatan Mufti supaya surau sekolah atau surau kariah yang berhampiran dengan sekolah mereka dinaiktaraf menjadi Surau Jumaat.
“Ia membabitkan sekolah yang jaraknya melebihi radius 3 kilometer (km) dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai dan sekolah yang tidak mempunyai penempatan penduduk serta kemudahan untuk murid murid menunaikan solat Jumaat di kawasan sekitar.
“Jabatan Mufti Johor memutuskan kriteria pelaksanaan Solat Jumaat di sekolah kepada Pejabat Kadi Daerah dan mereka perlu mematuhi kriteria utama.
“Seterusnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan membuat keputusan sama ada wajar diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat atau sebaliknya sebelum sesi
persekolahan bermula pada tahun 2025,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian menjawab soalan Abdul Aziz Talib
(PAS-Maharani) mengenai langkah terkini dan persediaan kerajaan negeri Johor bagi
memudahkan pelaksanaan solat Jumaat kepada pelajar sekolah dan umat Islam di negeri Johor bermula 1 Januari 2025.
Menurut Mohd Fared, Dasar Kebenaran Solat Jumaat itu memerlukan pemohon untuk mendapatkan dahulu sokongan dari Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau berdekatan, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Islam Daerah dan Kadi Daerah.
Katanya pemohon juga perlu memastikan tempat yang dicadangkan itu memenuhi hukum syarak.
“Iaitu berupaya memenuhi sekurang-kurangnya 12 orang jemaah lelaki baligh yang bermastautin dari kalangan kakitangan, pelajar atau ahli kariah, bukan dewan yang terbuka, yang boleh mencemarkan kesucian tempat tersebut dan bukanlah tempat yang dicampur adukkan dengan program dan aktiviti sekolah yang tidak selari dengan hukum syarak.
“Bagaimanapun, bagi kawasan yang memiliki beberapa sekolah yang bersebelahan antara satu sama lain, hanya satu sekolah yang memiliki kriteria boleh membuat permohonan dengan disertakan sokongan sekolah yang berhampiran,” ujarnya.
Memperincikan secara lanjut, Mohd Fared berkata kriteria yang perlu dipenuhi ada dua bahagian iaitu bahagian kemudahan dan pentadbiran.
Katanya pentadbiran sekolah perlu mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau dengan mencadangkan kakitangan yang berkelayakan sebagai Pegawai Surau (Imam dan Bilal) yang perlu mendapat tauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Jawatankuasa Fatwa akan memutuskan sama ada permohonan sekolah itu diterima atau tidak. Bagi surau sekolah yang diterima, Jawatankuasa Fatwa sahaja yang boleh memutuskan sama ada surau sekolah itu dinamakan sebagai Surau Jumaat atau Musolla Jumaat.
“Bagi Surau Jumaat, pelaksanaan solat lima waktu dan aktiviti pengimarahan surau hendaklah dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau Sekolah sebagaimana Surau Jumaat yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




