Birmingham: Aston Villa mengikat penyerang Senegal, Nicolas Jackson, secara perpindahan tetap dari Chelsea bagi memperkuatkan jentera serangan yang semakin kekurangan pilihan selepas beberapa pemain utama meninggalkan kelab itu.
Media Britain melaporkan Villa membayar £47.5 juta (RM259.8 juta) kepada Chelsea sebagai bayaran awal untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu, dengan tambahan £17.5 juta (RM95.7 juta) menerusi bayaran bonus.
“Pemain antarabangsa Senegal yang sudah membuat 37 penampilan dan mewakili negaranya pada Piala Dunia FIFA 2026 itu menyertai kelab secara perpindahan tetap,” kata kenyataan Villa.
Jackson pernah bermain di bawah kendalian pengendali Villa, Unai Emery, ketika bersama Villarreal dan menjaringkan 12 gol dalam 26 perlawanan liga pada musim LaLiga 2022-23.
Dia menyertai Chelsea pada musim panas 2023 dan menjaringkan 30 gol dalam 81 penampilan dalam semua kejohanan, selain membantu The Blues memenangi Liga Konferens UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.
Namun, penyudahnya yang tidak konsisten menyebabkan penyokong Chelsea berbelah bahagi terhadap prestasinya.
Jackson menghabiskan musim lalu secara pinjaman bersama Bayern Munich, menjaringkan 11 gol serta memenangi gelaran Bundesliga dan Piala Jerman.
Dia juga sudah membuat 37 penampilan bersama Senegal dan berada dalam skuad negara itu pada Piala Dunia 2022 dan 2026.
Kehadiran Jackson memberikan tambahan ketajaman yang amat diperlukan Villa selepas Morgan Rogers meninggalkan kelab itu untuk menyertai Chelsea menerusi yuran perpindahan rekod Britain, manakala Emery turut mengesahkan penyerang Ollie Watkins bakal berhijrah ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Villa layak ke Liga Juara-Juara (UCL) selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dalam kelompok empat teratas, selain menamatkan penantian 30 tahun untuk menjulang trofi apabila memenangi Liga Europa.
Namun di sebalik kejayaan itu, kelab dari Midlands berkenaan terpaksa menjual beberapa pemain terbaiknya dalam jendela perpindahan berikutan peraturan kewangan, dengan pemain pertahanan Ezri Konsa dan pemain tengah Youri Tielemans masing-masing menyertai Arsenal dan Manchester United.
Villa memulakan kempen EPL dengan kekalahan 0-4 di tangan Brighton & Hove Albion dan selepas ini bakal melayan kunjungan juara bertahan, Arsenal, pada Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd
