pekanramli@gmail.com
KOMENTAR
Ada batasan dalam setiap kehidupan kita. Cuma kadang-kadang di zaman sosial media sekarang ini kita sering melampaui sempadan tanpa disedari. Saya juga kadang-kadang melakukan kesilapan sebegini sebagai penulis.
Tiada sesiapa pun di dunia ini mempunyai hak mutlak dalam semua perkara. Walaupun kita selalu merasakan kononnya kita punya hak itu dan ini. Dalam konteks sukan, baik peminat, pemain dan pegawai mahupun pemilik kelab bolasepak, masih tetap terikat dengan perkara boleh dan tidak boleh atau ‘do or dont’s’.
Ini bukan bisnes peribadi sendiri. Ini bisnes yang ramai pemegang taruhnya. Peringatan kepada diri saya dan juga kepada semua. Ingatlah “kesalahan kita yang paling besar adalah saat kita sibuk menguruskan kesalahan orang lain”.
Kita berbalik kepada isu pengadilan bolasepak yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini. Mentang-mentanglah produk tempatan (masih guna lencana Persatuan Bolasepak Malaysia), belum menjadi produk antarabangsa (belum dapat lencana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa – FIFA), sewenang-wenangnya mereka dikutuk, dicaci atau dimaki.
Nama mereka disebut di media dan diulang siar tanpa berselindung di saluran media sosial. Sukar untuk membenteras ‘keyboard warrior’ ini.
Ketika pengadil yang bertugas melindungi kita ketika beraksi di padang dari kekasaran pemain lawan atau keputusan sering berpihak kepada kita, namun jarang sekali kita ucapkan terima kasih kepada mereka. Apa yang kita cari hanya kesilapan dan kesalahan mereka. Malah ada yang menunggu isu ini seperti kehadiran sebuah bom jangka untuk diletupkan.
Soalnya, apakah sehebat-hebat mana sekalipun manusia itu, ia tidak akan melakukan kesalahan atau kesilapan? Adakah dalam setiap bidang yang kita pelajari itu, kita akan menjadi manusia yang cukup sempurna? Jadi, jagalah aib pengadil kita. Mereka juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan sebarang kesilapan.
Bukan mudah untuk membuat keputusan spontan dalam masa beberapa saat. Mata harus fokus dan tajam melihat kepada setiap pergerakan bola dan pemain, otak pantas berfikir pada insiden yang berlaku (kesalahan apa, hukuman apa, kepada siapa) dan mulut berperanan meniup wisel sambil tangan menunjukkan ke arah tempat kesalahan berlaku.
Jika sedikit sahaja fokus pengadil tersasar atau terganggu hari itu atau terlindung akibat kesilapan posisi pengadil itu sendiri sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan, ianya pasti menyukarkan beliau untuk membuat keputusan yang tepat.
Memang pembantu pengadil boleh membantu, namun sebagai pengadil keputusan akhir itu di tangan beliau. Biarpun terdapat pengunaan sistem VAR (pengadil bantuan video) digunakan oleh sesetengah liga besar di beberapa negara, namun ia bukan jaminan untuk pengadil tidak melakukan kesilapan, apatah lagi kita belum lagi menggunakannya.
Bukan untuk memperjuangkan pengadil atau mengasihani mereka, namun begitulah nasib pengadil-pengadil tempatan kita yang saya ibaratkan sama seperti nasib produk tempatan. Kita kerap memandang rendah produk atau orang kita sendiri. Kita jadi ‘double standard’ dalam hal ini. Malah ada yang menyuarakan untuk bawa produk luar negara (pengadil) yang lebih bagus dan hebat.
Sebenarnya tak jauh beza pun dengan kita. Tak hairan pun kerana yang dihantar nanti memang hebat dan sangat berpengalaman. Pemain dan pegawai pun was-was untuk menegur sebab ada ‘badges’ @cop ‘sirim’ luar negara. Walhal, sebenarnya pemain pun takut nak protes atau berdebat dengan mereka yang fasih bercakap ‘bahasa orang putih’. Nanti tergagap-gagap pula nak menjelaskan apa yang mereka tidak puas hati itu. Seperkara lagi ini liga kita… Jadi ukurlah baju di badan sendiri.
Saya berharap janganlah pemain kita sendiri yang mempamerkan aksi biadap dan kurang ajar kepada pengadil. Memaki hamun dan mencaci malah hingga kepada insiden berani menyentuh, berkelakuan kasar serta mengancam pengadil.
Sikap negatif kita kepada pengadil sendiri sebenarnya boleh diikuti oleh pemain import. Mereka turut memandang rendah kepada pengadil tempatan hingga berani melakukan provokasi seperti dilakukan oleh pemain-pemain tempatan. Tambahan pula jika pegawai-pegawai pasukan dan pemilik-pemilik pasukan juga sering menyatakan rasa tidak puashati dengan memperlekehkan mutu pengadil kita (Harap-harap mereka ini juga diambil tindakan oleh FAM).
Memang ada benarnya terdapat pengadil yang lemah dan kurang berpengalaman. Tambahan pula keputusan dibuat pengadil itu tidak menguntungkan pasukan sendiri atau pasukan yang kita sokong. Namun jangan ‘bunuh’ karier mereka dengan hanya satu kesalahan yang berlaku. Kita tidak perlu minta pengadil itu bertaubat atau berehat tetapi cukuplah tugas itu diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib Pengadil FAM untuk membuat keputusan bijak serta lebih positif dan bukan menilai ‘robot’ yang meniup wisel di padang.
Sebenarnya bukan mudah untuk mendapat lesen menjadi pengadil. Terdapat pelbagai ujian yang perlu dilepasi, ujian bertulis tentang peraturan pertandingan bersandarkan kepada pelbagai situasi permainan atau insiden. Terdapat 17 peraturan rasmi bolasepak menurut FIFA tidak termasuk pecahan-pecahan kecil bagi setiap peraturan rasmi yang perlu berada dalam pengetahuan seseorang pengadil. Setiap pengadil juga perlu melepasi ujian kecergasan sebelum lulus untuk menjalankan sesuatu tugasan itu.
Keganasan pemain dan penyokong pernah menjadi perhatian utama di Republik Ireland. Ia berikutan insiden dilaporkan BBC pada 2018 apabila tiga pemain dan seorang penyokong masing-masing digantung 40 tahun kerana menyerang pengadil Daniel Sweeney sehingga mengalami kecederaan teruk selepas perlawanan ketika Mullingar Town bertemu Horseleap United dalam aksi Liga Bolasepak Gabungan Daerah.
Badan pentadbir bolasepak Liga Inggeris juga sedang dalam perbincangan menghapuskan hukuman maksimum 10 tahun kepada hukuman lebih berat larangan seumur hidup kepada pemain yang menyerang pengadil mulai musim depan.
Saya berharap pengadil tempatan tidak berasa kecewa dengan persekitaran yang kurang sihat ini. Berpeganglah kepada kata-kata ini. “Semua orang tidak perlu malu karena berbuat kesalahan, kerana ia akan menjadi lebih bijaksana dari sebelumnya.” – Alexander Pope (Penyair Inggeris terkenal abad ke-18).
Kepada pemain, tarik nafas sedalam-dalamnya jika pengadil tidak menyebelahi anda dan tumpu kembali kepada permainan. Lupakan pengadil itu. Jangan serabutkan fikiran anda memikirkan hal yang sudah berlaku, lebih bimbangkan tentang permainan anda hari itu. Tunjukkan aksi yang terbaik yang anda ada kepada pengadil itu dan semoga ianya tidak berakhir dengan kekecewaan.
* Penulis adalah Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi
© New Straits Times Press (M) Bhd