sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelari Kenya terus membuktikan mereka antara ‘gergasi’ dalam acara larian jarak jauh apabila sukar digugat pencabar lain selepas menguasai acara utama larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026, semalam.
Dalam acara larian penuh maraton sejauh 42 kilometer (km) antarabangsa, Lukas Wambua Muteti menguasai kategori lelaki dengan catatan 2 jam 39 minit 42 saat manakala Jackline Musyawa Nzivo pula di tempat pertama kategori wanita dengan masa 2:59:02.
Bagi separuh maraton 21km antarabangsa, Elvis Kyalo Kivasi membuktikan keunggulan apabila jauh meninggalkan pesaingnya dengan catatan 1:15:43 dan untuk kategori wanita, Sharon Ndanu Mwanthi pula diberi tentangan hebat tapi tetap memastikan kedudukan nombor satu menjadi miliknya, 1:24:37.
Penguasaan pelari dari negara Kenya bukanlah sesuatu yang baharu dan boleh dikatakan, setiap acara larian utama di Malaysia, wakil mereka pasti akan berada dalam kedudukan podium.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, edisi tahun ini mendapat sambutan cukup baik dan penyertaan lebih ramai berbanding tahun lalu, yang dianggarkan 12,000 penyertaan.
“Sepanjang lapan edisi penganjurannya, IJM Allianz Duo Highway Challenge sudah berkembang menjadi sebuah platform menyatukan komuniti melalui minat terhadap sukan larian, di samping memperlihatkan bagaimana lebuh raya boleh dimanfaatkan sebagai ruang menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




