Jaguh MMA hangatkan Fire Cage FC

Jaguh MMA hangatkan Fire Cage FC
Jaguh MMA hangatkan Fire Cage FC

Kejohanan Fire Cage FC akan berlangsung di N9 Arena, Negeri Sembilan pada 22 Februari ini

KEJOHANAN Fire Cage Fighting (Fire Cage FC) bakal menyajikan aksi menarik oleh jaguh seni bela diri campuran (MMA) dari enam negara yang dijadualkan berlangsung di N9 Arena, Negeri Sembilan pada 22 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Emnes Events Sdn Bhd, Ahmad Mustaqiim Ahmad Fauzi berkata, kejohanan yang julung kali diadakan itu turut akan menyaksikan pertarungan hebat merebut dua gelaran utama iaitu Kejuaraan Dunia Welterweight dan Kejuaraan Dunia Lightweight.

Menurutnya, lebih menarik enam pertembungan tempatan yang diaturkan khas bakal menemukan petarung Malaysia berdepan lawan antarabangsa yang pastinya menjanjikan saingan hebat buat bakat MMA Malaysia di peringkat global.

“Kejohanan ini membabitkan penyertaan petarung dari enam negara termasuk Brazil, Jepun, Filipina dan lebih istimewa berada dalam kalendar antarabangsa.

“Fire Cage FC meletakkan satu penanda aras baharu untuk MMA di Malaysia dan kami sangat berbangga untuk mempersembahkan barisan yang pelbagai ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertarungan kejuaraan Kelas Dunia bersama jaguh UFC dan bintang RIZIN menjadi acara tumpuan bagi merebut Kejuaraan Dunia Welterweight apabila legenda MMA Brazil dan veteran UFC, Gleison Tibau berdepan superstar MMA dari Jepun, Kiichi Kunimoto.

Bagi gelaran Kejuaraan Dunia Lightweight pula menyaksikan pertarungan bekas jaguh UFC dari Brazil, Diego Nunes yang juga veteran Bellator berdepan bintang Filipina iaitu bekas juara Abu Dhabi Warriors dengan pengalaman di UFC, Rolando Dy.

Ahmad Mustaqiim berkata, peminat MMA juga pasti akan teruja dengan kehadiran jaguh welterweight Malaysia, Agilan Thani yang dikenali sebagai bekas pencabar Gelaran Dunia ONE Welterweight dan salah seorang atlet MMA yang paling terkenal di negara ini.

“Agilan bakal berdepan pencabar hebat Garath Vaughan dari gym SBG sebuah lokasi terkenal di Ireland yang diketuai oleh John Kavanagh juga merupakan Ketua Jurulatih Legenda UFC, Conor McGregor,” katanya.

Scroll to Top