Nepal keluarkan amaran banjir baharu susulan paras air Sungai Bhote Koshi meningkat

Kathmandu: Pihak berkuasa Nepal mengeluarkan amaran baharu pada Jumaat mengenai potensi berlaku satu lagi kejadian banjir selepas paras aliran air bercampur serpihan dan lumpur dilaporkan meningkat di jajaran Sungai Bhote Koshi yang sama, iaitu lokasi bencana banjir kilat melanda pada Rabu, lapor Xinhua.

“Maklumat telah diterima bahawa aliran air bercampur serpihan dan lumpur meningkat semula hari ini di kawasan Sungai Bhote Koshi di Rasuwa, tempat di mana banjir besar berlaku pada 26 Ogos,” menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) dalam satu notis.

Memandangkan potensi banjir boleh berlaku lagi, NDRRMA menggesa semua anggota yang terlibat dalam operasi menyelamat dan memberi bantuan di sepanjang Sungai Bhote Koshi dan Sungai Trishuli, serta sesiapa sahaja yang masih berada di kawasan berisiko tinggi, untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya.

Agensi itu turut menasihatkan mereka supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat sekiranya mengesan sebarang tanda bahaya.

Angka korban akibat banjir yang memusnahkan itu telah meningkat kepada 475 orang, manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian mangsa yang terselamat dan mayat di sepanjang sungai dan kawasan hilir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top