Kuala Lumpur: Kualiti udara di Sri Aman, Sarawak merosot kepada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 211 setakat 2 petang ini, manakala 21 kawasan lain di seluruh negara merekodkan tahap tidak sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata baki 44 kawasan lagi mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana dan hanya satu kawasan berada pada tahap baik.
Beliau berkata antara kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat di Sarawak melibatkan IPD Serian (182), Sarikei (159), Kuching (157), Bintulu (120), Miri (116) dan Sibu (101).
Di Semenanjung Malaysia, kualiti udara tidak sihat dikesan di Cheras, Kuala Lumpur (160); Seberang Perai dan Minden, Pulau Pinang (158); Taiping, Perak (155); Seberang Jaya, Pulau Pinang (154); Sungai Petani, Kedah (154); Johan Setia, Shah Alam (Selangor) serta Batu Muda, Kuala Lumpur masing-masing 152.
Turut terjejas ialah Alor Setar, Kedah (151); Tasek Ipoh, Perak (150); Putrajaya (147); Petaling Jaya, Selangor (126); Seremban, Negeri Sembilan (114) dan Tanjung Malim, Perak (104).
“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, yang dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azuri Azizah berkata laporan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura pada Khamis menunjukkan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) mengesan sebanyak 514 titik panas di Kalimantan, 176 di Sumatera, manakala tiga titik panas dikesan di Malaysia melibatkan Johor, Sarawak dan Terengganu.
Beliau berkata Peta Jerebu Serantau ASMC hari ini menunjukkan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan, manakala jerebu sederhana hingga tebal diperhatikan di bahagian barat Borneo.
Kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera, dengan beberapa stesen pemantauan kualiti udara merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga berbahaya, katanya.
Susulan itu, JAS telah meningkatkan penguatkuasaan serta rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
JAS turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah mencegah pencerobohan yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd

