“Jahat adalah perbuatan dan pilihan dalam hidup” – Jay Iswazir – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Jay Iswazir mendedahkan dia selalu digelar pelakon yang suka membawakan watak antagonis namun dia tetap positif dan mempunyai sebab tersendiri.

Jelas pelakon yang lahir dari program Pilih Kasih musim kedua ini, dia berharap agar penonton membuka minda mereka untuk berfikir sejenak mengapa seorang itu berbuat demikian dan apakah pengajaran yang boleh diambil daripada watak berkenaan.

“Saya sampai sudah terbiasa orang kata begitu. Tetapi, watak itu jugalah yang membuatkan jadi menarik.

“Bagi saya ada pengajarannya yang dapat kita teladani. Saya nak kongsi pada orang ramai, jahat itu dilahirkan hanya pada perbuatan dan pilihan dalam hidupnya,” katanya.

Tampil dengan drama terbaharu Ali Alia sebagai watak Pian, Ahmad Iswazir Ismail atau lebih mesra disapa Jay, kongsinya mengenai watak itu, seorang lelaki yang hidupnya penuh dengan dugaan dan ujian sehinggakan terpaksa menyalahi undang-undang.

“Sebagai penonton fikirkanlah, kita ini diberi peluang untuk jadi baik atau tidak? Seterusnya, kadang-kadang kita ini jangan terus cepat menghukum mereka, kena fahami juga, hendak pula zaman sekarang ini tidak pedulikan masalah sekliling.

“Jadi, moga-mogalah watak itu harapnya akan sampai kepada penonton supaya akan ada ruang fikir untuk khalayak agar dapat hidup dalam keharmonian,” jelasnya.

Selain Jay, antara barisan pelakon lain yang membintangi Ali Alia pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang di saluran Astro Prima 105, ialah Rusdi Ramli, Faezah Elai, Kodi dan ramai lagi.