am@hmetro.com.my
Seremban: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, melahirkan kebimbangan berhubung krisis perlembagaan di negeri itu yang belum menemui jalan penyelesaian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, isu berkenaan menyebabkan penjawat awam dan rakyat negeri itu berasa tidak tenteram.
“Kita perlu mengakui, sama ada penjawat awam, masyarakat mahupun rakyat di negeri ini, semuanya berasa tidak selesa dan bimbang dengan krisis perlembagaan yang berlaku sekarang.
“Saya menggesa semua pihak supaya segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan isu ini berlarutan sehingga menjejaskan pembangunan ekonomi negeri, aktiviti pelaburan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jalaluddin berkata, isu politik tidak seharusnya dilihat dari sudut politik semata-mata, sebaliknya kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan ekonomi, pembinaan infrastruktur, aktiviti pelaburan dan kebajikan rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata, pertikaian politik tidak sepatutnya menjadi faktor yang menjejaskan pembangunan negeri dan kehidupan rakyat, sebaliknya segala urusan pentadbiran perlu diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Katanya, beliau berharap isu itu tidak berlarutan kerana kerajaan negeri perlu mengambil kira pembangunan ekonomi negeri, kesejahteraan rakyat serta kepentingan pelabur.
Mengulas berkenan rancangan kerajaan negeri mengadakan persidangan DUN, Jalaluddin berkata, setakat pengetahuannya, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebelum ini pernah menyatakan bahawa ia akan berlangsung pada 26 dan 27 November ini.
Beliau berkata, bagaimanapun sehingga kini Menteri Besar belum menerima maklumat tarikh persidangan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Muhriz.
“Sama ada istiadat pembukaan penggal baharu DUN mahupun persidangan DUN, kedua-duanya perlu mendapat perkenan Tuanku Muhriz dan ia prosedur penting yang wajib dipatuhi kerajaan negeri.
“Oleh itu, saya berharap isu perlembagaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat supaya urusan pentadbiran negeri, termasuk rancangan mengadakan persidangan DUN dapat dilaksanakan seperti ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, semua 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sambutan Deepavali di kawasan masing-masing dan mengambil kesempatan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Selasa lalu, Ismail memaklumkan kerajaan negeri kekal dengan rancangan mengadakan persidangan DUN pada 26 November ini, disusuli pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 keesokannya.
ADUN Juasseh itu memaklumkan beliau kini berusaha mendapatkan perkenan daripada Tuanku Muhriz bagi merasmikan persidangan berkenaan.
Hari ini, semua 11 ADUN PH mendakwa belum menerima maklumat atau notis berkaitan persidangan meskipun tarikh dirancang kerajaan negeri ditetapkan pada 26 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




