Tabung Solidariti Najib: 'UMNO sedia diaudit, tiada apa perlu disembunyikan' – Asyraf Wajdi

Tabung Solidariti Najib: 'UMNO sedia diaudit, tiada apa perlu disembunyikan' – Asyraf Wajdi

am@hmetro.com.my

Istanbul: UMNO tiada apa-apa untuk disembunyikan dan mengalu-alukan sebarang proses audit ke atas dana sumbangan berjumlah RM50 juta bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, parti itu telus sejak dari awal lagi menerusi penubuhan akaun berasingan bagi Tabung Solidariti Najib Razak berikutan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Apabila pihak MKT memutuskan untuk menubuhkan dana khas ini, kami membuka akaun yang berasingan untuknya.

“Kami melakukannya secara telus dan jika mereka mahu mengaudit, kami terbuka serta mengalu-alukannya kerana tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Asyraf berkata, dana itu adalah usaha pembiayaan awam dengan semua wang berkenaan datang daripada orang ramai.

Beliau juga menolak dakwaan sebahagian daripada dana itu diperoleh daripada ‘tauke’ yang mendapat projek daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Semua ini adalah fitnah, kerana saya sentiasa melaporkan mengenainya sejak hari pertama lagi,” katanya.

Beliau berkata, ada orang ramai yang menyumbang serendah RM20 dan akaun itu dipantaunya secara dalam talian setiap jam bagi memastikan semua sumbangan masuk ke dalamnya.

“Tiada apa pun yang melalui akaun lain atau mana-mana individu,” katanya.

Asyraf berkata demikian sebagai menjawab gesaan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua supaya Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaudit dana berkenaan.

Pua dilaporkan berkata, audit itu diperlukan bagi memastikan wang yang dikumpul adalah sah dan tidak melalui proses pengubahan wang haram.

UMNO membayar denda RM50 juta ke atas Najib menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada September lalu dan berjaya mencapai sasaran kutipannya.

Najib berada di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan pecah amanah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang mana Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Januari 2024 mengurangkannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Pada 18 September lalu, Najib dikurniakan pengampunan bersyarat tambahan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat-syarat lain yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top