PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan, kembali mencuri perhatian apabila tampil sebagai seorang datuk dalam sebuah video pendek sempena Hari Kebangsaan, baru- baru ini.
Menerusi video berdurasi lapan minit berjudul ‘Malaysia adalah milik kita bersama’, Jalaluddin, 72, bergandingan dengan bintang cilik Zarra Zhaf mengenai pengorbanan dalam sebuah kisah kekeluargaan.

Video yang diterbitkan bersempena Hari Kebangsaan 2026 dan dikongsikan di laman Facebook Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kini mendapat perhatian warganet.
Penampilan Jalaluddin sebagai seorang datuk memberikan sentuhan tersendiri kepada karya berkenaan, khususnya dalam menggambarkan hubungan antara generasi terdahulu yang mewarisi sejarah perjuangan negara dengan generasi muda yang bakal menentukan masa depan Malaysia.
Menerusi lakonan bersahaja, Jalaluddin membawa penonton menyelami perkara yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Kata Jalal menerusi dialog tersebut, sebuah negara yang merdeka adalah amanah untuk mempertahankan perpaduan dan keharmonian.
Zarra Zhaf, yang sebelum ini membintangi filem seram hit Khadam, pula mewakili suara generasi muda yang menjadi penerima legasi tersebut
Turut diselitkan amanat khas Fadillah yang menyeru rakyat supaya bersama-sama mempertahankan kedaulatan dan memperkukuh semangat kebersamaan.
“Malaysia adalah milik kita bersama, peliharalah kedaulatannya, hormatilah perbezaannya dan perkukuhkanlah semangat kebersamaan agar negara kita terus gemilang pada mata dunia.
“Ayuh semarakkanlah rasa cinta,
tanggungjawab dan kesetiaan kepada tanah air. Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan,” katanya. -UTUSAN
