Jalaluddin nafi boikot majlis angkat sumpah MB, dakwa terima jemputan saat akhir

Jalaluddin nafi boikot majlis angkat sumpah MB, dakwa terima jemputan saat akhir

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias menafikan dakwaan bahawa beliau memboikot majlis pelantikan dan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan semalam, sebaliknya menjelaskan jemputan hanya diterimanya pada saat akhir.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, notis jemputan dihantar sekitar jam 4.50 pagi, namun beliau hanya menyedarinya selepas menunaikan solat Subuh ketika jadualnya sudah dipenuhi dengan komitmen lain di kawasan.

“Jemputan itu dibuat pada saat akhir. Saya terima daripada pihak Protokol pada 4.50 pagi.
“Saya baca selepas solat Subuh, sedangkan saya sudah mengatur satu program lain di kawasan yang memerlukan kehadiran saya,” katanya.

Ketiadaan Jalaluddin pada majlis yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial, termasuk spekulasi bahawa beliau sengaja memboikot istiadat berkenaan.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kerajaan negeri yang baharu dapat mentadbir dengan berkesan selepas memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

“Negeri Sembilan sudah diberi mandat oleh rakyat. Tanggungjawab kita sekarang ialah memastikan segala manifesto yang dijanjikan dapat ditunaikan.
“Urus tadbir kerajaan juga mesti dipertingkatkan berbanding pentadbiran sebelum ini,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan tidak menyimpan sebarang rasa kecewa meskipun namanya sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Dalam jiwa saya tidak ada rasa kecewa atau putus asa. Matlamat utama saya ialah melihat pentadbiran negeri ini berubah dan itu sudah berjaya dicapai. Saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan ini,” tambahnya lagi.

Artikel lain: “Jangan salah faham…”- Jalaluddin tak kemaruk jadi MB Negeri Sembilan, sesiapa pun boleh dilantik

Semalam, Adun Juasseh, Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam perkembangan sama, Ismail menjelaskan jemputan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun sebahagian wakil rakyat hanya menerimanya pada saat akhir sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menghadiri majlis berkenaan kerana mempunyai komitmen lain.

Sumber: Free Malaysia Today

Scroll to Top