Kuala Lumpur: “Jangan bertangguh, terus daftar sekarang. Lebih cepat kita mendaftar dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan normal,” demikian seruan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Beliau berkata demikian di penghujung pengumuman khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini supaya rakyat segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
Setakat hari ini, lebih lima juta individu sudah mendaftar untuk menerima suntikan melalui aplikasi MySejahtera, manakala 44,399 individu pula mendaftar melalui laman web dan pusat panggilan ditetapkan.
Selain itu, beliau berkata, selama setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara ini pelbagai strategi pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat direncanakan.
“Kami berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.
“Pemerkasa dengan nilai keseluruhan RM20 bilion adalah satu lagi inisiatif kerajaan PN untuk meringankan beban yang sedang ditanggung rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan,” katanya.
Menurutnya, sebagai kerajaan prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat.
“Insya-Allah, amanah ini akan sentiasa kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, demi rakyat dan negara.
“Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan seluruh petugas barisan hadapan dan penjawat awam yang sekian lama berdiri teguh dan setia sebagai tunjang pentadbiran Kerajaan.
“Saya juga menyanjung tinggi peranan sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang turut menyumbang kepada bantuan kewangan dan bantuan sosial kepada rakyat,” katanya.




