Jangan jadi 'proksi', wanita tempatan perlu waspada helah warga asing

Jangan jadi 'proksi', wanita tempatan perlu waspada helah warga asing

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wanita tempatan khususnya pemilik syarikat dinasihatkan berwaspada supaya tidak terjerat berkahwin warga asing yang memanipulasi perniagaan pasangan.

Ketua Aktivis Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus), Sophian Mohd Zain berkata, wanita tempatan harus membuat semakan sewajarnya sebelum membuat keputusan berkaitan perkahwinan, perkongsian syarikat atau urusan perniagaan dengan mana-mana individu terutama warga asing.

Katanya, pemilik syarikat juga tidak seharusnya meminjamkan nama, menyerahkan kawalan syarikat, menandatangani dokumen yang tidak difahami atau menjadi pengarah syarikat hanya kerana dijanjikan imbuhan.

“Tindakan sedemikian boleh menyebabkan seseorang berdepan risiko undang-undang sekiranya syarikat itu digunakan untuk aktiviti haram yang menyalahi peraturan.

“Jika terdapat keraguan, dapatkan nasihat daripada agensi kerajaan berkaitan dan laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki wujud unsur penipuan atau penyalahgunaan perniagaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, polis Kedah memberkas seorang lelaki Bangladesh dipercayai menjadi dalang menjual permit kerja palsu dan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada warga asing.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dipetik berkata, suspek berusia 40-an didapati berkahwin dengan wanita tempatan berusia 69 tahun yang mempunyai tiga syarikat iaitu kedai runcit, kedai komputer dan kontraktor.

Syarikat itu dipercayai digunakan sebagai alasan untuk membolehkan permohonan pekerja asing dilakukan suspek dengan cas RM4,000 bagi setiap warga asing.

Mengulas modus operandi warga asing berkahwin dengan warga tempatan, Sophian berkata, perkara itu perlu dipandang serius sekiranya siasatan pihak berkuasa membuktikan wujud penyalahgunaan perkahwinan atau syarikat bagi mendapatkan permit pekerja asing secara tidak sah.

“Apa yang membimbangkan ialah sekiranya terdapat pihak mengeksploitasi kelemahan sistem melalui penggunaan syarikat tempatan, peminjam nama atau perkahwinan yang bertujuan mengaburi proses permohonan.

“Jika benar berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan integriti sistem imigresen malah membuka ruang kepada sindiket mengaut keuntungan secara haram,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga disaran memperkukuh proses saringan, audit dan penguatkuasaan supaya sebarang cubaan menyalahgunakan sistem dapat dikesan lebih awal.

“Mana-mana individu atau sindiket yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan atau kedudukan dalam masyarakat.

“Pada masa sama, siasatan tidak sepatutnya terhenti kepada individu yang ditahan sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan bagi mengenal pasti dalang, rangkaian, ejen syarikat dan mana-mana pihak yang bersekongkol jika ada.

“Mereka yang terbukti terbabit dalam penipuan atau pemalsuan permit perlu dikenakan hukuman berat dan setimpal sebagai mesej bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan kelicikan jenayah ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top