am@hmetro.com.my
Ipoh: Tulisan ikonik ‘IPOH’ yang menjadi mercu tanda bandar raya ini diturunkan sementara bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan, pembaikan dan baik pulih dilaksanakan sebelum dipasang semula awal bulan depan.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah, langkah itu diambil bagi memastikan struktur dan keadaan fizikal tulisan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat serta terpelihara sebagai salah satu mercu tanda kebanggaan bandar raya Ipoh.
“Kerja-kerja pemasangan semula tulisan ‘IPOH’ dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos 2026, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja-kerja di tapak.
“MBI memohon kerjasama dan kesabaran warga kota sepanjang tempoh kerja-kerja berkenaan dilaksanakan.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, MBI sentiasa komited dalam memastikan kemudahan awam dan mercu tanda bandar raya sentiasa diselenggara dengan baik demi keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan warga kota.
© New Straits Times Press (M) Bhd




