‘Jangan kata kejayaan hari ini hasil ciptaan PH saja’- Jalaluddin

‘Jangan kata kejayaan hari ini hasil ciptaan PH saja’- Jalaluddin

JELEBU – Kejayaan dan hasil pembangunan yang dikecapi Negeri Sembilan ketika ini bukanlah usaha Pakatan Harapan (PH) semata-mata, sebaliknya kesinambungan daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dalam tempoh dua tahun lapan bulan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ini, parti itu turut memberi sumbangan.

“Jadi kestabilan dan kejayaan di Negeri Sembilan ini merupakan antaranya sumbangan daripada BN kerana kita ada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Jadi jangan kata bahawa semua hasil dan kejayaan itu adalah ciptaan serta sumbangan daripada PH saja,” katanya ditemui berkempen di sini pada Rabu.

Menurutnya, walaupun Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan Menteri Besar, tetapi setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha bersama semua pihak dalam pentadbiran.

Justeru ujar calon Pertang itu, PH tidak sepatutnya menidakkan sumbangan BN selama dua tahun lapan bulan ini, malah rakyat mengetahui apa yang dilakukan parti itu demi kepentingan negeri dan masyarakat.

“Apa yang dikecapi hari ini adalah kesinambungan daripada kepimpinan BN terdahulu.

“Yang keduanya, soal kestabilan yang juga disertai wakil daripada BN. Cumanya Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) sebagai Menteri Besar, tetapi saya sebagai Exco Kanan dan ini semua merupakan sumbangan serta peranan yang dimainkan bersama oleh kedua-dua parti,” katanya.

Jalaluddin berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mendakwa semua kejayaan kerajaan negeri datangnya daripada usaha seorang individu sahaja.

“Kalau saya jadi menteri besar waktu itu, takkan saya cakap semua itu adalah atas hasil usaha saya seorang.

“Tentunya ada sumbangan daripada rakan parti yang menyertai kerajaan saya waktu itu.

“Jadi saya fikir tepuk dada tanya selera, adakah apa yang dikatakan Tok Min itu betul atau tidak?” katanya.

Jalaluddin mengedarkan risalahnya kepada ketika berkempen di DUN Pertang

Jalaluddin mengedarkan risalahnya kepada ketika berkempen di DUN Pertang

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa dakwaan parti berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan menteri besar kepada dua penggal adalah tidak tepat kerana usul itu dibawa ketika BN menjadi pembangkang dari 2018 hingga 2022.

Jelasnya, usul tersebut yang dimasukkan dalam manifesto diputuskan oleh kerajaan PH ketika itu dan bukannya melibatkan pendirian UMNO-BN.

“Itu adalah manifesto yang dibuat oleh PH pada tahun 2018. Ketika itu kita sebagai pembangkang dan tidak terlibat pun soal sokongan sama ada menteri besar kekal dua penggal atau tidak,” katanya.

 

 

Scroll to Top