amir_hamid@mediaprima.com.my
SEKALI dengar, mungkin ramai yang menyangka ibu negeri Terengganu sedang menerima kunjungan rombongan warga emas.
Namun, jangan tersilap! ‘Atuk’ dan ‘nenek’ ranggi yang membanjiri Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu baru-baru ini, bukan calang-calang tua.
Walaupun usia sudah menjangkau lebih setengah abad, deruman enjinnya masih ‘mengaum’, malah ada yang lebih bertenaga daripada jentera moden!
Itulah kemeriahan yang tercetus sepanjang tiga hari berlangsungnya Festival Terengganu Klasik 2.0 (FTK2026), baru-baru ini.
Lebih 500 kereta vintaj, motosikal klasik serta kenderaan custom ikonik berkumpul, sekali gus membuktikan hobi automotif warisan ini tidak pernah mati.
Antara yang mencuri tumpuan pastinya kehadiran kereta vintaj dipercayai model Morris Eight era 1930-an.
Bayangkan, pada usia hampir 90 tahun, ia masih mampu menempuh perjalanan jauh dan tampil segak dengan kombinasi warna merah-beige.
Tidak ketinggalan, kelibat Volkswagen Transporter T1 (Split Screen) atau ‘bas VW’ daripada era 1950-an yang nilainya kini boleh mencecah harga sebuah kondominium mewah!
Bagi peminat jentera Jepun, kelibat Toyota Celica TA22 berusia 55 tahun yang masih berkilat dan Toyota Corolla KE70 lingkungan 45 tahun yang diubah suai gaya ‘lowered’ membuktikan cita rasa ‘retro’ tetap mempunyai kelas tersendiri.
Pengarah Program FTK2026 Jamal Ikhwan Mohamad berkata, festival edisi kedua ini bukan sekadar pameran statik semata-mata, sebaliknya ia adalah platform gaya hidup yang meraikan kreativiti dan sejarah.
“Objektif utama kami adalah untuk memelihara dan mengangkat warisan budaya kenderaan klasik sebagai sebahagian daripada sejarah serta identiti rakyat Malaysia.
“FTK2026 juga menjadi platform ‘Gathering Sahabat Klasik’ yang menghimpunkan komuniti pemilik dari seluruh negara untuk berkongsi ilmu dan inspirasi,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran hampir 10,000 pengunjung membuktikan minat terhadap kenderaan klasik kini semakin meresap ke dalam jiwa anak muda, bukan lagi hobi ‘orang lama’ semata-mata.
Di satu sudut lain, barisan nenek Honda C70 serta vespa pelbagai generasi (PX, Sprint, Excel) mencetuskan aura nostalgia yang cukup kuat.
Ada yang mengekalkan cat asal yang sudah ‘berkarat’ (patina look) dan ada juga yang tampil dengan restorasi penuh mengikut spesifikasi kilang.
Bagi peminat jentera lasak, deretan scrambler seperti Suzuki TS125 dan Yamaha DT125 daripada era 70-an membuktikan semangat ‘off-road’ klasik masih membara.
Tidak ketinggalan, motosikal tentera British seperti ‘BSA M20’ dan ‘Matchless’ yang berusia lebih 80 tahun, membawa pengunjung kembali ke zaman Perang Dunia Kedua.
Selain menjadi ‘syurga’ buat peminat automotif, FTK2026 turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
Dengan kehadiran ribuan pelancong, kadar penginapan di sekitar Kuala Terengganu dilaporkan meningkat, selain memberi ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk mereka.
Penganjuran ini juga dilihat sebagai persediaan awal menyokong aspirasi ‘Visit Beautiful Terengganu 2027’.
Ternyata, atuk dan nenek ranggi ini bukan sekadar besi buruk, tetapi adalah khazanah berharga yang mampu menarik minat khalayak ke bumi Darul Iman.
© New Straits Times Press (M) Bhd
