Rezeki terbaru Ebby Yus pencipta kandungan syarikat meja

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Penderitaan pelakon veteran, Ebby Yus yang menghidap komplikasi buah pinggang dan jantung bukanlah baharu. Malah, acap kali juga Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid keluar dan masuk hospital akibat penyakit ini.

Bagaimanapun itu bukan penyebab pelakon versatil yang mempunyai latar belakang dalam kemahiran seni silat ini hanya diam berpeluk tubuh menantikan bantuan semata-mata.

Ebby, 61, kini mempunyai pendapatan sebagai pencipta kandungan di sebuah syarikat pembuatan meja di syarikat Skov Wood Slab, Kajang dan gembira dengan karier baharunya.

“Saya kenal pemilik syarikat ini, Ku Zaki Ku Mansor agak lama, dalam berbelas tahun juga. Apabila saya sakit dan sebagainya tempoh hari, Ajak Shiro berikan peluang saya kendalikan restoran Bumbu Babah.

“Ku Zaki pun tengok masalah saya dan saya akui ‘overhead’ saya tinggi. Dia minta saya datang syarikatnya dan kata buat-buatlah apa yang patut, apa yang boleh buat.

“Dia pun bagi gaji atas kerja saya. Saya seminggu sekali saja datang sini buat kandungan promosi produk syarikat. Itu sajalah tugas saya,” katanya membuka cerita.

Ebby berkata, dia bebas memilih hari sama ada Rabu, Khamis atau Ahad untuk melakukan tugasan ini dan sudah empat bulan bekerja di sini.

“Okaylah kerja sini sebabnya tak teruk sangat. Dan saya tak mampu nak buat kerja dekat ‘outdoor’ macam dulu, ‘shooting’. Tak mampulah sebabnya saya kena cuci buah pinggang sehari tiga kali iaitu pagi, petang dan malam.

“Saya buat sendiri cuci air di rumah. Jadi kalau nak pergi ‘shooting outdoor’ semua memang susahlah. Sekarang pagi saya dah cuci buah pinggang, balik kerja petang kena buat lagi dan lepas itu malam pula.

“Kalau hari itu saya tiba-tiba tak larat, saya akan beritahu Ku Zaki dan tak hadir. Sebabnya masalah macam saya, penyakit macam saya ini dia tak konsisten. Kadang-kadang okey, dia okey saja. Kalau tiba-tiba hari itu dia lembik, dia lembik. Macam itulah,” katanya.

Pelakon sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut (JKK) ini bagaimanapun bersyukur keadaan kesihatannya semakin baik berbanding dahulu.

“Selain bekerja di sini, saya masih lagi terbabit dengan restoran Bumbu Babah cawangan Kampung Baru. Tapi Ajak tak nak saya pergi sangat. Kalau ikut Ajak, dia hanya nak saya datang sebulan sekali sahaja.

“Tapi tak baguslah kan sebab orang berbudi pada saya. Jadi saya pergi jugalah terutama bila saya lapang atau saya sihat. Saya pergilah sekejap layan-layan ‘customer’. Bila tak larat, saya balik. Macam itulah.

“Untuk berlakon pula, sebelum ini memang ada yang tawarkan. Dalam dua bulan saya keluar hospital itu ada orang ‘offer’, tapi saya tak ambil, saya tolak.

“Jadi mungkin sekarang ini orang dah tahu saya selalu tolak, jadi orang tak adalah ‘offer’ lagi. Saya pun tak berupaya nak berlakon. Nanti menyusahkan orang kan?,” katanya.

Ebby mengakui mungkin produksi terbabit berniat membantunya tetapi dia sudah tidak mampu lagi aktif berlakon seperti dahulu.

“Kalau kerja santai-santai buat kandungan begini okeylah. Kalau nak ikutkan kerja saya ini kira komisenlah. Kalau orang beli meja ini ada lah komisen.

“Yang beli masa saya ‘live’ pun ada, yang ‘walk in’ pun ada. Tapi kalau misal kata tak ada ‘sales’ pun. Ada juga rezeki saya yang Ku Zaki bagi. Syukur alhamdulillah sangat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top