faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Segelintir masyarakat dilihat mudah terpedaya dengan polemik ciptaan pihak tertentu, termasuk berkaitan sistem kesihatan awam di negara ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ada pihak cenderung mempengaruhi pemikiran masyarakat termasuk mendakwa kerajaan gagal menguruskan penularan pandemik COVID-19.
“Sistem kesihatan tidak lumpuh, malah kerajaan mampu memberi suntikan vaksin percuma.
“Ketika ini, kerajaan meletak sasaran dalam masa dua atau tiga bulan lagi, kita dapat memberi suntikan kepada lebih 80 peratus penduduk di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah yang disiarkan secara langsung di Facebook, malam ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Annuar berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan ketika ini dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19 boleh disifatkan sebagai pencapaian besar.
“Ia tetap baik walaupun kita tak dapat menyebut ia sebagai kejayaan mutlak kerana menguruskan isu pandemik memerlukan tempoh panjang,” katanya.
Sementara itu, Kedah dijangka menerima 50,300 dos vaksin COVID-19 hujung bulan ini dan awal Julai depan.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya menerima 29,300 dos bekalan vaksin berkenaan setiap minggu.
“Petugas kesihatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kedah mampu memberi 80,000 dos suntikan seminggu. Oleh kerana kita mendapat bekalan 29,300 dos, proses suntikan akan ikut dos berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




