Fenomena lelaki yang sengaja berpenampilan, berpakaian dan berperwatakan seperti wanita, lebih-lebih lagi apabila ditonjolkan secara terbuka melalui media sosial sehingga menjadi kandungan hiburan dan ikutan, perlu dipandang serius.
Persoalan ini bukan semata-mata berkaitan fesyen atau pilihan peribadi, tetapi menyentuh soal fitrah manusia, pembentukan identiti, akhlak serta sistem nilai masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Islam memuliakan setiap manusia. Justeru, dalam membicarakan isu ini, kita hendaklah membezakan antara menghukum sesuatu perbuatan dengan menghina individu yang melakukannya.
Islam melarang perbuatan yang bercanggah dengan syariat, tetapi pada masa sama tidak mengajar umatnya mencaci, membuli, mengaibkan atau melakukan kekerasan terhadap individu terbabit. Mereka perlu didekati dengan hikmah, pendidikan, bimbingan dan kasih sayang.
Larangan tasyabbuh antara lelaki dan wanita
Dalam perspektif syarak, perbuatan seseorang lelaki yang sengaja menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki disebut sebagai tasyabbuh. Daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ulama menjelaskan bahawa larangan terbabit tidak terhad kepada pakaian semata-mata. Imam al-Tabari menjelaskan larangan lelaki menyerupai wanita pada pakaian dan perhiasan yang khusus bagi wanita, manakala al-Hafiz Ibn Hajar turut membincangkan penyerupaan melalui percakapan dan cara berjalan.
Penentuan sebahagian bentuk penampilan pula mengambil kira adat masyarakat setempat.
Namun, ada satu perincian penting yang mesti difahami supaya masyarakat tidak berlaku zalim. Ulama membezakan antara lelaki yang mempunyai sifat lembut secara semula jadi dengan lelaki yang sengaja mengada-adakan penyerupaan terhadap wanita.
Seseorang yang sejak asal kejadiannya mempunyai suara atau gerak-geri tertentu secara semula jadi tidak boleh terus dihukum berdosa atas sesuatu yang berada di luar pilihannya. Yang ditegah ialah apabila penyerupaan terbabit dilakukan secara sengaja dan dipertontonkan sebagai identiti yang bercanggah dengan jantina asal.
Dalam konteks Pulau Pinang, perkara ini bukan isu hukum yang baharu.
Fatwa Mengenai Hukum Wanita Menyerupai Lelaki dan Sebaliknya telah diwartakan oleh Kerajaan Pulau Pinang pada 8 Oktober 2009, No. 667.
Antara kandungan fatwa tersebut ialah: “Pengharaman ini juga meliputi orang lelaki yang mempunyai penampilan dan gerak laku menyerupai orang perempuan.”
Fatwa terbabit turut menyeru ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberikan perhatian serius terhadap gejala berkenaan serta menekankan pendidikan dan tunjuk ajar kepada anak-anak, khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan kerana perkara terbabit bertentangan dengan fitrah dan sunnatullah.
Ini menunjukkan bahawa isu terbabit sudah lama diberikan perhatian oleh institusi fatwa. Apa yang berubah hari ini ialah medium dan skala penyebarannya.
Media sosial mempercepat proses normalisasi
Kebimbangan utama pada masa kini ialah media sosial mempunyai keupayaan menjadikan sesuatu yang dahulunya dianggap luar biasa sebagai perkara biasa melalui pendedahan berulang.
Apabila penampilan lelaki sebagai wanita dijadikan kandungan hiburan, memperoleh jumlah tontonan yang tinggi, pengikut yang ramai dan kemudian mendapat pula sokongan komersial atau status selebriti, generasi muda boleh mendapat gambaran bahawa perkara terbabit hanya satu bentuk ekspresi diri yang tidak mempunyai sebarang implikasi agama atau nilai.
Di sini bahayanya normalisasi. Apa yang sering dilihat akan menjadi biasa; apa yang menjadi biasa akhirnya mudah diterima; dan apa yang diterima berulang kali boleh mempengaruhi cara seseorang membentuk nilai serta identitinya.
Kita tidak mengatakan bahawa setiap anak muda yang menonton kandungan sedemikian secara automatik akan menirunya. Itu merupakan kesimpulan yang terlalu simplistik. Namun, dari sudut pendidikan, keluarga dan pembentukan nilai, pendedahan berulang terhadap sesuatu tingkah laku yang dipersembahkan secara positif boleh mengurangkan sensitiviti seseorang terhadap batas yang sebelumnya difahami dengan jelas.
Ancaman terbesar ialah kekeliruan terhadap konsep identiti
Islam mengajar bahawa manusia mempunyai kemuliaan dan identiti yang perlu dipandu oleh wahyu, bukan semata-mata oleh kecenderungan, populariti atau tekanan budaya semasa.
Allah SWT berfirman: Maksudnya: “Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama dengan lurus; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Surah al-Rum: 30)
Justeru, kebimbangan kita bukan semata-mata terhadap pakaian seseorang. Persoalan yang lebih besar ialah apabila masyarakat mula menerima pemikiran bahawa identiti lelaki dan wanita boleh diketepikan atau dibentuk hanya berdasarkan kehendak individu tanpa sebarang panduan agama dan nilai.
Dalam kerangka Islam, kebebasan manusia bukan kebebasan tanpa sempadan. Kebebasan berjalan bersama tanggungjawab kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Dalam menangani fenomena ini, pendekatan kita tidak boleh berhenti pada kecaman dan hukuman.
Ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam pendidikan identiti anak-anak. Anak lelaki perlu dibimbing memahami kemuliaan dan tanggungjawab sebagai lelaki, begitu juga anak perempuan perlu dibina keyakinannya terhadap identiti dan kehormatan dirinya sebagai wanita.
Institusi pendidikan, masjid, agamawan dan agensi kerajaan pula perlu memperkukuhkan pendidikan mengenai fitrah, maruah diri, adab pergaulan dan literasi media sosial.
Pada masa sama, individu yang sedang berhadapan dengan konflik atau kekeliruan berkaitan identiti perlu diberikan ruang mendapatkan bimbingan agama, kaunseling dan sokongan yang sesuai. Kita mahu membawa manusia kembali kepada kebaikan, bukannya menolak mereka semakin jauh daripada agama.
Pendakwah juga hendaklah menggunakan bahasa yang berhikmah. Ketegasan terhadap hukum tidak menghalalkan penghinaan terhadap manusia.
Jangan jadikan perkara bercanggah syarak sebagai bahan hiburan
Saya juga menyeru pengendali media sosial, pencipta kandungan, penganjur program dan pihak industri supaya mempunyai tanggungjawab sosial.
Tidak semua perkara yang mampu memperoleh jutaan tontonan wajar dijadikan kandungan. Jangan kerana mengejar engagement, populariti dan keuntungan, sesuatu yang bertentangan dengan nilai agama dipersembahkan sebagai hiburan sehingga akhirnya dinormalisasikan kepada kanak-kanak dan remaja.
Kita perlu bertanya: apakah bentuk generasi yang mahu kita lahirkan 10 atau 20 tahun akan datang?
Generasi muda memerlukan contoh yang membina jati diri, bukan kandungan yang menambahkan kekeliruan tentang siapa diri mereka.
Kesimpulan
Pendirian syarak dan fatwa mengenai perbuatan sengaja lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki adalah jelas. Namun, usaha menangani fenomena ini mesti melalui gabungan pendidikan, dakwah, kekuatan institusi keluarga, bimbingan, literasi digital dan penguatkuasaan undang-undang yang berhemah.
Kita menolak perbuatan yang bercanggah dengan syariat, tetapi kita tidak membenci atau menghina manusia.
Matlamat Islam ialah islah iaitu memperbaiki, mendidik dan membimbing.
Saya menyeru masyarakat khususnya ibu bapa supaya tidak memandang ringan perubahan budaya yang berlaku di media sosial. Apa yang hari ini dianggap sekadar hiburan mungkin esok menjadi budaya, dan apabila budaya itu telah berakar, usaha untuk membetulkannya menjadi jauh lebih sukar.
Generasi muda ialah amanah. Identiti mereka perlu dibina atas ilmu, iman dan fitrah, bukan ditentukan oleh algoritma, populariti dan trend media sosial.
Wallahu a’lam
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd
