BACHOK – Jangan terbalikkan Jalur Gemilang atau memasangnya tanpa tertib kerana simbol berkenaan merupakan lambang maruah dan kedaulatan negara yang wajib dihormati.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Abd Aziz berkata, kesedaran mengenai tatacara pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang perlu terus dititikberatkan supaya kesilapan seperti memasangnya secara terbalik tidak berlaku.
“Bendera ini bukan satu perkara yang boleh dianggap kecil, ia berkait dengan integriti sesebuah negara dan menjadi lambang kedaulatan.
“Jika memasang Jalur Gemilang, pastikan pemasangannya dibuat dengan betul dan tepat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Semarak Merdeka Komuniti Madani Tawang di Pantai Irama di sini pada Jumaat.

Apron berpelekat Jalur Gemilang turut diberikan kepada peniaga di Pantai Irama. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID
Beliau berkata, MKN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah mengambil pendekatan turun padang bagi menyemarakkan semangat cintakan negara selain meningkatkan kesedaran mengenai tatacara pengibaran Jalur Gemilang.
Katanya, program berkenaan turut menyaksikan kira-kira 500 Jalur Gemilang diedarkan kepada komuniti setempat, termasuk peniaga, pengguna kenderaan dan orang ramai.
“Kami juga menggunakan platform media sosial termasuk TikTok bagi menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran berkaitan perkara ini.
“Dalam tempoh ini kami tidak menerima kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya memperhebat pemantauan di sekitar daerah itu bagi memastikan Jalur Gemilang yang dipasang di premis kerajaan, swasta, bangunan dan sepanjang jalan berada dalam keadaan baik serta mengikut tatacara yang betul.
Menurutnya, pemantauan dilakukan menerusi rondaan anggota di empat kawasan balai polis dalam daerah Bachok sehingga sambutan Bulan Kebangsaan selesai.
“Anggota rondaan diarahkan supaya turut memerhatikan keadaan bendera yang dipasang di bangunan kerajaan, premis swasta dan sepanjang jalan,” katanya.

Kesemua peserta yang hadir mengibarkan bendera Malaysia. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad Ismail berkata, individu atau premis yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau salah boleh disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalanan- Kesalahan Kecil 1955, atau Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan lebih banyak aktiviti konvoi dianjurkan sempena Bulan Kebangsaan, justeru peserta perlu memastikan aspek keselamatan serta semua syarat ditetapkan dipatuhi.
“Penganjur bertanggungjawab memastikan keselamatan peserta dan pengguna jalan raya diberi keutamaan selain memastikan peserta mempunyai lesen memandu serta perlindungan insurans yang diperlukan.
“Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang jalan raya, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
