KUALA LUMPUR – “Jangan positif sangat dengan Pas, mereka boleh tukar ‘goal post’ pada bila-bila masa,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan mendakwa parti itu sedang mengadakan rundingan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama politik.
Beliau yang juga Presiden UMNO turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang perbincangan dengan Pas mengenai hala tuju strategi politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti.
“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat… jika ada perbincangan pun sekadar persefahaman dan tidak memuktamadkan sebarang perbincangan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026 di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengingatkan setiap pihak supaya tidak terlalu optimis terhadap kenyataan politik Pas.
Katanya, pengalaman PRN Johor mengajar UMNO supaya tidak terlalu cepat membuat kesimpulan kerana keadaan boleh berubah menjelang hari penamaan calon.
“Jangan pegang sangat (kenyataan Pas), sebab mereka boleh berubah. Kerana banyak kali dan banyak parti sudah terkena dengan mereka ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata usaha mewujudkan kerjasama politik itu bertujuan memastikan Negeri Sembilan diterajui kerajaan Melayu-Islam selepas pilihan raya.
Beliau turut memaklumkan Pas sedang mengusahakan kerjasama berkenaan serta menyifatkan perbincangan yang berlangsung setakat ini sebagai positif.
Kenyataan itu dibuat selepas melancarkan kempen Nismilan Kito Jago dan majlis kutipan dana Pas Negeri Sembilan semalam. – Awani



