Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar setiap keputusan dan tindakan tidak dipengaruhi oleh nafsu serta emosi, sebaliknya dibuat berasaskan fakta, undang-undang dan pertimbangan yang teliti demi menjaga integriti pentadbiran negeri.
Keabsahan & kelancaran istiadat tak terjejas
Memetik laporan daripada Kosmo!, baginda turut menegaskan bahawa keabsahan dan kelancaran Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 tetap tidak terjejas walaupun tanpa kehadiran pembesar negeri seperti kebiasaan sebelum ini.
“Walaupun dengan ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiring beta pada setiap perasmian persidangan negeri.. keadaan ini tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan ini,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi persidangan berkenaan hari ini.

Pentadbiran kerajaan negeri berfungsi seperti biasa
Sehubungan itu, baginda bertitah agar pentadbiran kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
“Sebelum Beta mengakhiri titah, Beta ingin membangkitkan satu perkara yang amat penting kepada Negeri Sembilan dan juga kepada Beta sendiri.
“Perkara ini ditujukan khususnya kepada individu-individu yang telah diberikan jawatan atau kedudukan yang tinggi, yang datang bersama amanah serta tanggungjawab yang besar.
“Oleh itu, segala tindakan dan keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti semua fakta dan maklumat yang berkaitan. Selain itu, Beta menegaskan bahawa setiap tindakan dan keputusan yang diambil mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
“Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi oleh hawa nafsu dan emosi semata-mata. Kegagalan mematuhi prinsip ini boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri,”titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan orang ramai khususnya pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan komen atau ulasan terhadap sesuatu isu.
“Janganlah terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya. Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negeri,” titah baginda lagi.

Difahamkan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 yang sepatutnya berlangsung sehingga minggu depan ditangguhkan pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Sumber: Kosmo! (Nur Sharieza Ismail)




