am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seramai 1,429 pegawai dan anggota diambil tindakan tatatertib sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 134 dibuang kerja atas pelbagai kesalahan membabitkan salah laku.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan yang diambil membabitkan pelbagai bentuk hukuman mengikut tahap kesalahan.
“Manakala seramai 819 pula diberi amaran, denda (211), lucut hak imbuhan (190), tangguh pergerakan gaji (18), turun gaji (34) dan turun pangkat (23).
“Kesalahan yang direkod membabitkan pelbagai isu termasuk salah laku jenayah, rasuah, syariah, mendatangkan kecederaan dan dadah,” katanya kepada media selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, walaupun hanya sekitar satu peratus sahaja pegawai dan anggota yang diambil tindakan, impaknya tetap besar terhadap imej pasukan keselamatan itu.
“Kita ada lebih kurang 130,000 pegawai dan anggota. Mereka yang dikenakan tindakan tatatertib adalah satu peratus. Walaupun (jumlah) kecil tetapi impaknya adalah besar.
“Yang kecil ini akan mencemarkan imej atau mencemar kejayaan yang sudah kita buat.
“Habis usaha baik yang polis buat, semua tak (tidak) diambil kira (kerana) mereka nampak yang silap sahaja dan sebab itu kena ambil tindakan tegas,” katanya.
Menurutnya, PDRM mempunyai mekanisme pemantauan dalaman menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), selain saluran aduan luar menerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
“Kita ada macam-macam tindakan seperti JIPS dan satu lagi yang ada di luar iaitu IPCC berada di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri).
“Kalau masyarakat awam tidak berpuas hati dengan siasatan dalaman yang dijalankan pihak polis, mereka boleh beralih atau hubungi IPCC,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




