Jangan susahkan orang lain, patuhi larangan merokok di restoran – PRESMA

Jangan susahkan orang lain, patuhi larangan merokok di restoran – PRESMA

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelanggan restoran digesa bertanggungjawab dan mematuhi peraturan larangan merokok ketika berada di premis berkenaan.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius insiden membabitkan seorang lelaki bertindak kasar terhadap suami isteri di sebuah restoran selepas ditegur kerana merokok, baru-baru ini.

“Insiden seumpama itu bukan saja mencemarkan suasana aman di premis makanan, malah mengganggu ketenteraman pelanggan lain, khususnya anak dan keluarga untuk menjamu selera,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili lebih 3,500 pengusaha restoran Muslim di seluruh Malaysia, PRESMA menegaskan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan dalam melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], khususnya larangan merokok di semua premis makanan.

“Undang-undang ini bertujuan melindungi kesihatan rakyat dan

memastikan setiap pelanggan dapat menikmati makanan dalam suasana yang selamat dan sihat tanpa terdedah kepada bahaya asap rokok.

“Peraturan ini juga bukan sekadar undang-undang, tetapi satu amanah untuk melindungi diri sendiri, keluarga, serta masyarakat sekeliling daripada bahaya penyakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya.

Menurut kenyataan itu, budaya saling menghormati antara pelanggan dan pengusaha restoran adalah kunci untuk mewujudkan persekitaran makan yang harmoni.

“PRESMA komited untuk terus bekerjasama rapat dengan KKM, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan lain dalam memperkukuh pelaksanaan undang-undang itu.

“Kami juga akan terus mendidik para pengusaha dan pelayan restoran di bawah naungan PRESMA supaya berani menegur

pelanggan dengan cara yang berhemah, demi menjaga kesejahteraan dan keselesaan semua,” katanya.

Kenyataan itu berkata, semua pihak perlu bersama memainkan peranan menjadikan restoran di Malaysia sebagai ruang mesra keluarga, bebas daripada asap rokok, dan selamat untuk semua lapisan masyarakat.

Untuk rekod, bermula 1 Januari lalu, sebanyak 28 kawasan termasuk restoran dan dobi digazetkan sebagai kawasan larangan merokok menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas ditegur kerana merokok dalam sebuah restoran di Seksyen 13 di Shah Alam, minggu lalu

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dipetik berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa iaitu wanita hamil bersama suaminya tidak selesa dengan tindakan suspek yang merokok di meja berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top