'Jangan takut kepada Brazil' – jurulatih Maghribi beri amaran awal

'Jangan takut kepada Brazil' – jurulatih Maghribi beri amaran awal

East Rutherford: Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi, menggesa anak buahnya agar tidak gentar berdepan Brazil menjelang aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2026, awal pagi esok.

Skuad Atlas Lions bakal berdepan ujian getir menentang juara dunia lima kali itu di New Jersey dalam apa yang dianggap antara perlawanan paling menarik pada peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Ouahbi percaya anak buahnya memiliki keyakinan dan kualiti yang cukup untuk mencabar Brazil, apatah lagi selepas mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Ia adalah perlawanan yang akan memberitahu kedudukan sebenar kami, tetapi saya fikir kami berada di landasan yang baik untuk memulakan kejohanan ini.

“Kami perlu yakin dengan diri sendiri dan apa yang sudah kami lakukan. Kami tidak perlu takut kepada Brazil, tetapi perlu menghormati mereka.

“Ramai mengatakan ini bukan lagi Brazil seperti dahulu, tetapi mereka tetap Brazil,” katanya.

Maghribi mencipta sejarah empat tahun lalu apabila menjadi negara Afrika dan Arab pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia selepas menyingkirkan Sepanyol dan Portugal.

Jika sebelum ini mereka dianggap pasukan kejutan, situasinya kini berbeza apabila Maghribi muncul antara pasukan yang semakin digeruni di pentas antarabangsa.

Malah, mereka kini menghuni ranking ketujuh dunia, hanya satu anak tangga di belakang Brazil yang berada di kedudukan keenam.

“Kami tidak takut. Kami kini berada pada dimensi baharu dan lebih dihormati.

“Matlamat kami sekarang adalah memastikan status itu berkekalan. Terpulang kepada kami untuk membuktikan kami benar-benar pencabar,” kata Ouahbi.

Sementara itu, tonggak pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi, yang menjadi watak penting dalam kempen bersejarah Maghribi di Qatar, turut melaungkan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya.

“Kami tahu kualiti yang dimiliki Brazil dan siapa pemain mereka.

“Kami mahu memulakan kejohanan dengan cara terbaik, pergi sejauh mungkin dan melakukan lebih baik berbanding Piala Dunia lalu.

“Tetapi sekarang, fokus kami hanya kepada perlawanan esok dan memberikan aksi terbaik.

“Dalam kejohanan seperti Piala Dunia, tiada pasukan pilihan. Peluang adalah 50-50 dan ia akan menjadi perlawanan yang seimbang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top