Sao Paulo: Presiden FIFA, Gianni Infantino, mencetuskan perhatian apabila berseloroh bahawa Itali mungkin mampu melayakkan diri ke Piala Dunia sekiranya jumlah pasukan bertanding ditambah daripada 48 kepada 64 pasukan pada edisi 2030.
Jenaka itu dibuat ketika beliau ditanya mengenai cadangan memperluaskan lagi saingan Piala Dunia selepas kejohanan 2026 menjadi edisi pertama yang menampilkan 48 pasukan.
“Kami sudah mengadakan perbincangan mengenai peluasan kepada 64 pasukan dan perkara itu sudah dibentangkan kepada Majlis FIFA.
“Mungkin Itali boleh layak jika ada 64 pasukan, atau kami boleh tambah sehingga 208 pasukan,” katanya sambil ketawa dalam temu bual bersama penyiar digital Brazil, CazeTV.
Kenyataan itu dibuat sebelum aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca, Mexico City yang menyaksikan Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0.
Itali yang juga juara dunia empat kali terus bergelut di pentas antarabangsa apabila gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Russia, 2022 di Qatar dan kini edisi 2026 di Amerika Utara.
Cadangan memperluaskan Piala Dunia kepada 64 pasukan bagi edisi 2030 sedang giat dipromosikan Presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez dari Paraguay sempena sambutan 100 tahun kejohanan itu.
Sebahagian aksi Piala Dunia 2030 dijadual berlangsung di Paraguay, Uruguay dan Argentina sebagai penghormatan kepada sejarah kejohanan yang bermula di Uruguay pada 1930, manakala Sepanyol, Portugal dan Maghribi dipilih sebagai tuan rumah utama.
Bagaimanapun, Infantino menjelaskan FIFA perlu terlebih dahulu menilai keberkesanan format baharu 48 pasukan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
“Kita perlu lihat dahulu bagaimana Piala Dunia pertama dengan 48 pasukan ini berjalan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi, mengakui terkejut dengan kenyataan berkenaan dan mahu mendapatkan penjelasan terus daripada Infantino.
“Memandangkan jarak antara Itali dan Mexico agak jauh, saya rasa lebih baik saya hubunginya melalui telefon untuk memahami apa yang dimaksudkannya.
“Saya mahu mendengarnya sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




