Petaling Jaya : Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang disifatkan sebagai ajaran yang sesat lagi menyesatkan.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, agensi dakwah seperti Yadim sentiasa bersedia untuk memberi kefahaman dan pemurnian akidah serta fikrah.
“Makin mencabar tugas dakwah kita semua pada zaman mutakhir ini. Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu yang menggunakan lafaz syahadah yang pelik.
“Seperti yang saya dengar lafaznya ‘ila ha ila ra ila ma’ dan disambung dengan pengakuan ‘aku Melayu’ sebanyak tujuh kali,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Menurut Nasrudin, difahamkan ajaran tersebut menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam arab dan kononnya mereka membawa Islam Melayu.
“Insya-Allah dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan berhikmah.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa oleh individu berkenaan. Jelas ia adalah ajaran yang sesat. Saya sendiri pernah mengenali beliau sepintas lalu lewat 20 tahun yang lalu semasa beliau masih belajar,” katanya.
Terdahulu, tukar satu klik video berdurasi 3:32 saat yang memaparkan seorang wanita memalu alat gendang (gong) yang dipegang seorang lelaki dengan lafaz “Ila ha ila rai la ma”, serta dua lelaki lagi duduk bersipuh seperti mengangkat sembah.
Malay News
Social Media Updates



