Facebook paling banyak dosa kepada rakyat Malaysia – Fahmi Fadzil

Facebook paling banyak dosa kepada rakyat Malaysia – Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan rekod peratusan tertinggi kandungan perjudian dalam talian dan penipuan (scam) yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Facebook paling banyak dosa kepada rakyat Malaysia – Fahmi Fadzil

Menurut Fahmi, sebanyak 78 peratus kandungan perjudian dalam talian yang dimohon untuk diturunkan datang daripada Facebook. Angka itu jauh lebih tinggi berbanding YouTube sebanyak 18 peratus dan TikTok empat peratus.

“Facebook paling banyak dosa kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Facebook turut mencatatkan peratusan tertinggi bagi kandungan scam dengan 53 peratus, diikuti TikTok sebanyak 39 peratus dan Threads lima peratus.

“Kalau hendak kata platform mana yang paling banyak buat dosa kepada rakyat Malaysia, untuk judi dalam talian, Facebook adalah yang paling banyak.
“Untuk scam juga, Facebook paling tinggi dengan 53 peratus,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Jabatan Imigresen Malaysia, hari ini.

Fahmi berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos lalu, sebanyak 470,593 kandungan telah dimohon untuk diturunkan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 436,661 kandungan atau 93 peratus dipersetujui oleh platform terbabit untuk diturunkan.

Katanya, 64 peratus daripada kandungan berkenaan berkaitan perjudian, manakala 27 peratus lagi membabitkan penipuan.

Beliau berkata, statistik itu memperlihatkan keperluan untuk platform media sosial mengambil tindakan lebih awal dalam menangani kandungan berbahaya, tanpa hanya bergantung kepada aduan daripada pihak berkuasa atau orang awam.

“Setiap platform perlu bertindak secara proaktif untuk mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan yang jelas melanggar garis panduan serta terma penggunaan mereka.
“Kelewatan inilah yang memberi ruang kepada kandungan memudaratkan untuk terus tersebar dan meningkatkan risiko kemudaratan kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM158 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM2.9 bilion sepanjang 2025.

Menurutnya, jenayah rentas sempadan kini semakin rumit apabila sindiket menggunakan rangkaian komunikasi serta platform digital sebagai medium untuk menjalankan kegiatan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama antara MCMC dan Jabatan Imigresen Malaysia penting bagi memperkukuh perkongsian maklumat serta risikan, termasuk usaha mengenal pasti individu, rangkaian komunikasi dan modus operandi sindiket jenayah rentas sempadan.

Artikel lain: Anjakan besar? Fahmi Fadzil dedah hasrat Starlink uji Internet satelit terus ke telefon di Malaysia

Fahmi turut memaklumkan bahawa MCMC sedang mempertingkatkan langkah berkaitan pengesahan identiti digital atau eKYC untuk platform media sosial yang tertakluk kepada kerangka kawal selia negara.

Katanya, usaha itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna, selain membantu tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan platform digital.

Sumber: malaysiagazette (Muhammad Azizul Osman)

Scroll to Top