Jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana miskin, kita ada jalan untuk bantu

Jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana miskin, kita ada jalan untuk bantu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu bapa digesa tidak menolak tawaran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diterima anak masing-masing hanya disebabkan kekangan kewangan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya bersedia membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk melalui Bantuan Khas BUDI MARA.

“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah minta pengurusan MARA dan MRSM membantu mereka yang susah.

“Bantuan Khas BUDI MARA juga ada disediakan,” katanya dalam dalam satu hantaran Facebook, tadi.

Katanya, pagi semalam beliau dihubungi oleh seorang kenalan yang memaklumkan perihal keluarga susah di Pasir Mas, Kelantan yang mana bapa tidak lagi bekerja selepas kemalangan, manakala ibu suri rumah di sebuah kampung pedalaman.

“Adik-beradik empat orang. Baru dapat makluman tawaran ke MRSM Jeli. Namun dek memikirkan kos-kos perbelanjaan untuk ke MRSM dan sepanjang belajar di sana, mereka berkira-kira untuk menolak tawaran ini.

“Saya terus telefon sahabat saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri Mohamed Noor untuk bantu perbelanjaan awal. Selebihnya insyaAllah saya dan MARA akan bantu,” katanya.

Dalam pada itu, hasil carian di internet, program BUDI MARA adalah inisiatif keprihatinan MARA yang memfokuskan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada keluarga B40.

Program itu memberi peluang kesamarataan kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di MRSM.

Pelaksanaan program itu selari dengan dasar pengambilan pelajar iaitu sekurang-kurangnya 60 peratus dalam kalangan keluarga B40 di samping kriteria status sosioekonomi dan kecemerlangan pelajar diambil kira menerusi sistem merit.

Program berkenaan bermula pada 2005 yang dikenali dengan Program Bantuan Khas (PBK).

Penjenamaan PBK kepada BUDI MARA dilaksanakan pada2016. Program BUDI MARA diperkasakan melalui dua pendekatan iaitu penambahan bilangan pelajar BUDI MARA serta pelaksanaan program pembangunan pelajar BUDI selari dengan keperluan pelajar.

Pelajar BUDI MARA akan menerima bantuan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian sekolah, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan, tambang perjalanan pulang cuti semester, yuran dobi, pakaian sukan, keperluan peribadi dan sebagainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top