Bukan akhir kehidupan

Bukan akhir kehidupan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bangi: Lapan tahun lalu, lelaki ini diuji dengan gangguan bipolar iaitu masalah kesihatan mental yang menyebabkan kehidupannya berubah 180 darjah apabila cenderung melakukan tabiat pelik di luar kewarasannya.

Dr Arieffahmi Abd Razak, 33, berdepan ujian itu ketika bergelar penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Al-Azhar dekat Mesir.

Menceritakan kisahnya, Dr Arieffahmi yang juga usahawan bidang penjagaan kesihatan mengakui buntu dengan apa sebenarnya yang terjadi kepadanya hingga berada dalam fasa penafian dan patah semangat ketika tiga tahun pertama.

“Saya tak tahu dan sedar pun dengan apa yang berlaku serta melalui fasa mania pada akhir 2018 iaitu ketika tahun akhir pengajian dan menjelang peperiksaan akhir semester.

“Waktu itu, bermacam benda pelik saya buat antaranya bercakap dengan burung, berjalan tak pakai kasut, tak tidur, ruqyah pokok dan ketuk rumah orang Melayu di Mesir jam tiga pagi selain pernah mengaku diri sebagai Imam Mahadi.

“Saya tak tahu mana realiti dan kemuncaknya adalah pada 2021 apabila ada cubaan menamatkan riwayat hidup,” katanya ketika ditemui Harian Metro dekat Bandar Puteri Bangi di sini.

Dalam kebuntuan, Dr Arieffahmi berkata, keluarga terutama isteri, Dr Thaiyibah Hamdan, 33, tidak pernah meninggalkannya, malah membantu membawanya ke hospital untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

Katanya, sokongan itu yang memberi kekuatan untuknya bangkit dan keluar daripada belenggu derita.

“Cuma selepas keluar dari wad hospital pun, saya masih tak faham apa dilalui dan dalam fasa penafian seperti kebanyakan orang yang berdepan tragedi atau krisis hidup.

“Daripada awal, saya makan ubat cuma lebih banyak tidur waktu ‘down’ dan tak aktif sampai rasa kosong.

“Tapi jadi lebih baik bila jaga tidur, makak ubat dan buat terapi. Saya ambil masa empat tahun juga untuk terima hakikat, itu pun dengan sokongan insan sekeliling kerana fasa pemulihan bukan bergantung dengan saya seorang,” katanya.

Biarpun tidak mudah, Dr Arieffahmi cuba hidup bersama bipolar dan belajar menerimanya sebagai kekuatan, bukannya kelemahan.

Lantaran itu, dia yang juga bapa empat anak berusaha bangkit dengan bekerja semula hingga dapat menjalankan perniagaan sepenuh masa.

Katanya, perkongsian menerusi penulisan di media sosial mengenai perjalanannya sebagai individu yang mengalami gangguan bipolar banyak membantunya dalam proses pemulihan.

Dr Arieffahmi berkata, perkongsiannya itu juga mendapat perhatian termasuk daripada agensi kerajaan, syarikat korporat dan institut pengajian yang terpanggil untuk mengudangnya sebagai panel bagi berkongsi pengalamanannya berdepan masalah kesihatan mental.

“Sebelum sakit, saya memang aktif menulis di blog dan Facebook (FB) sejak 2006 hingga 2018 sebelum menghilang selama tiga tahun.

“Sekitar 2022, saya kembali menulis sebagai pelan pemulihan memori walaupun belum pulih pun dan ia membantu menguatkan memori saya.

“Setiap hari, saya cuba fikir apa nak dikongsikan dan hasil penulisan itu, saya diundang sebagai tetamu di audio siar sebelum dipelawa banyak agensi untuk menjadi panel yang digandingkan dengan pakar psikiatri bagi berkongsi input berkaitan kesihatan mental.

“Daripada situ, ramai pesakit dan ibu bapa datang berjumpa serta berhubung dengan saya..saya cuba kongsi pandangan “bukan sebagai doktor tapi daripada sudut pesakit yang melaluinya,” katanya yang pernah bekerja sebagai pegawai strategi pemasaran di sebuah syarikat.

Dr Arieffahmi berkata, dia kini bergantung dengan suntikan anti psikotik yang perlu diambil sekali dalam sebulan untuk seumur hidup.

Bagaimanapun, Dr Arieffahmi berkata, hidup perlu diteruskan dan misinya kini adalah terus memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesihatan mental di samping memberi tumpuan terhadap keluarga serta kerjaya sebagai usahawan.

“Tahun ini, saya pun sudah menerbitkan buku bertajuk ‘A Million Dollar Bipolar Journey: Awakening’ dan sebuah pusat kesihatan mental tak lama lagi.

“Diharap mereka yang membaca dan pernah mendengar perkongsian saya percaya masih ada harapan serta tidak berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

“Saya pun berdoa penulisan dan perkongsian saya tak mencetuskan stigma walaupun itulah kemungkinan yang akan terjadi dan tak dapat nak dielakkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top