West Ham kekal depan Spurs dalam misi elak penyingkiran

West Ham kekal depan Spurs dalam misi elak penyingkiran

London: West Ham United menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk menang 2-1 mengatasi Everton, semalam untuk kekal dua mata di depan Tottenham Hotspur dalam perebutan mengelak penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari penuh dramatik.

Spurs hampir keluar daripada kelompok tiga terbawah dengan hanya beberapa minit berbaki selepas gol lewat mereka ke atas Wolverhampton Wanderers dan jaringan penyamaan Everton ke atas West Ham di Stadium London.

Namun, pemain gantian West Ham, Callum Wilson muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 untuk mengembalikan kelebihan dua mata pasukannya dengan hanya empat perlawanan berbaki.

Tottenham kendalian Roberto De Zerbi bertandang ke gelanggang Wolves yang sudah disahkan tersingkir tanpa sebarang kemenangan EPL sejak Disember, namun tumpul di bahagian serangan apabila hanya mencatat dua percubaan tepat sepanjang perlawanan.

Kekurangan idea dan keyakinan menyaksikan mereka hampir sekadar seri tanpa jaringan sebelum gol minit ke-82 oleh Joao Palhinha memastikan kemenangan 1-0.

Penyokong Spurs yang hadir bergembira apabila mendapat tahu Everton menyamakan kedudukan pada minit ke-88, sekali gus memadam jaringan awal menerusi tandukan Tomas Soucek.

Ketika itu, Spurs berada di luar kelompok tiga terbawah.

Namun, West Ham belum mengalah apabila Wilson menambah satu lagi detik dramatik untuk mengangkat semula pasukannya mengatasi Tottenham.

“Suasana sangat luar biasa. Penyokong dan pemain benar-benar bersatu ketika tempoh ini dan ia banyak membantu kami.

“Kami kini berada di posisi terbaik dan jika terus menjaga keputusan sendiri, ia memberi kelebihan besar menjelang penghujung musim,” kata Wilson.

Wolves dan Burnley sudah tersingkir, manakala perebutan mengelak satu lagi slot penyingkiran kini bertukar menjadi saingan dua pasukan antara Tottenham dan West Ham yang masing-masing mengumpul 36 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top