Juruterbang ‘selfie’ punca dua jet pejuang bertembung

Juruterbang ‘selfie’ punca dua jet pejuang bertembung

SEOUL – Dua jet pejuang F-15K Korea Selatan berlanggar di udara akibat tindakan seorang juruterbang yang cuba merakam aksi sendiri atau ‘selfie’ ketika penerbangan dalam satu insiden pada 2021, menurut laporan The Korea Herald.

Laporan dikeluarkan Lembaga Audit dan Pemeriksaan pada Rabu itu menyatakan, pegawai berpangkat mejar itu bertindak membuat pergerakan tidak dirancang ketika cuba mendapatkan rakaman lebih jelas dirinya di dalam kokpit.

Ketika kejadian, beliau sedang menjalani penerbangan terakhir sebelum dipindahkan ke penempatan baharu pada Disember 2021.

Menurut laporan sama, ketua skuadron yang berada di hadapan telah mengarahkan pegawai di tempat duduk belakang untuk merakam aksi rakan sepasukan, memandangkan pesawat F-15K merupakan jet dua tempat duduk.

Bagaimanapun, tindakan mejar berkenaan mengubah haluan tanpa memberi amaran menyebabkan dua pesawat tersebut bertembung di udara.

Walaupun kedua-dua jet berjaya mendarat dengan selamat, perlanggaran itu mengakibatkan kerosakan besar dengan setiap pesawat dianggarkan bernilai sekitar 100 bilion won (kira-kira RM268 juta).

Susulan kejadian, Tentera Udara menggantung tugas pegawai tersebut serta mengarahkannya membayar kos pembaikan berjumlah 878.7 juta won (RM 2.35 juta).

Bagaimanapun, jumlah itu dikurangkan kepada 87.8 juta won (RM235,000) atau sekitar 10 peratus daripada nilai asal oleh lembaga audit selepas membuat rayuan.

Dalam keputusannya, lembaga berkenaan mengambil kira bahawa amalan merakam diri dalam kalangan juruterbang ketika itu adalah kebiasaan, selain pelan penerbangan tersebut telah dikongsi sesama anggota.

Selain itu, pihak Tentera Udara turut didapati mempunyai tanggungjawab kerana gagal mengawal atau melarang amalan tersebut.

Faktor lain termasuk tindakan pegawai berkenaan yang berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat serta sumbangannya sepanjang perkhidmatan sejak ditauliahkan pada 2010 turut dipertimbangkan.

Difahamkan, insiden tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini dan hanya diketahui selepas lebih empat tahun dirahsiakan.

Seorang pegawai Tentera Udara kemudian tampil memohon maaf secara terbuka dalam satu taklimat di Kementerian Pertahanan pada Khamis.

Menurutnya, pihak tentera kini sedang berusaha melakukan pembaharuan terhadap budaya kerja bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Scroll to Top