Jangkitan COVID-19 melepasi 400 juta

Jangkitan COVID-19 melepasi 400 juta

NEW YORK: Dunia melepasi 400 juta kes COVID-19 yang disahkan pada Selasa lalu, menurut Pusat Kejuruteraan dan Sains Sistem di Universiti Johns Hopkins, hanya sebulan selepas mencapai 300 juta.

Ia adalah peningkatan mengejutkan didorong oleh varian Omicron yang sangat mudah menular, ketika pemerintah dan individu di serata dunia bergelut dengan cara untuk menghadapi varian wabak itu yang seterusnya.

Ia mengambil masa lebih setahun untuk dunia mencapai 100 juta jangkitan yang disahkan, dengan kes pertama dikenal pasti pada akhir 2019 dan yang ke-100 juta pada Januari 2021.

Namun, hanya tujuh bulan diperlukan untuk menggandakan jumlah itu dan kini enam bulan untuk menggandakannya sekali lagi.

Bagaimanapun, jumlah kes harian sudah mula berkurangan tetapi purata lebih daripada 2.7 juta jangkitan masih dilaporkan setiap hari.

Bilangan kes sebenar sudah pasti lebih tinggi, dan mungkin agak ketara tinggi angkanya, lapor The New York Times.

Banyak keputusan ujian pantas di rumah tidak dilaporkan secara rasmi dan tidak semua orang yang dijangkiti menjalani ujian kerana mereka mungkin kekurangan akses, tidak mempunyai simptom atau memilih untuk tidak melakukannya.

Memandangkan virus itu kini bermutasi, hampir lima bilion orang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin coronavirus, dan kajian menunjukkan bahawa vaksin masih menawarkan perlindungan terhadap kes yang paling teruk.

Bentuk virus semasa yang dominan, Omicron, kurang berkemungkinan mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian.

Jadi, pengiraan kes semata-mata adalah kurang berguna sebagai asas mengukur betapa seriusnya penyakit ini, sekurang-kurangnya di tempat yang mempunyai kadar vaksinasi yang lebih tinggi atau jangkitan terdahulu.

Pada masa sama, saintis memberi amaran bahawa perlindungan terhadap jangkitan mungkin berkurangan dari masa ke masa manakala varian akan datang mungkin lebih mampu untuk menembusi pertahanan kita.

Namun, banyak negara mula melonggarkan sekatan berikutan lonjakan yang didorong oleh Omicron di banyak tempat sudah berkurangan.

Australia tidak lama lagi akan membuka semula sempadannya kepada pelawat yang sudah divaksin manakala Sweden melonggarkan kebanyakan peraturan pandemiknya, mengikut jejak langkah Denmark dan Norway.

Langkah itu mencerminkan keletihan yang mendalam dialami oleh orang ramai selama dua tahun selepas pandemik itu melanda dan penerimaan hakikat bahawa coronavirus itu akan kekal.

Tahap endemik boleh, tetapi tidak semestinya bermakna ancaman ringan, sama seperti selsema biasa adalah endemik, tetapi begitu juga malaria di banyak bahagian di dunia.

Coronavirus mungkin akan menimbulkan ancaman yang lebih besar atau lebih kecil di tempat yang berbeza, bergantung pada kadar vaksinasi dan faktor lain.

Varian baru boleh merumitkan lagi gambaran itu, terutamanya dengan berbilion orang di seluruh dunia masih belum divaksin.

Selepas mencecah angka 400 juta jangkitan global Selasa lalu, hari ini angka terbabit meningkat kepada 405,954,189 kes jangkitan dan 5,806,202 kematian di 223 negara serta wilayah di seluruh dunia. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top