norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Janna Nick, 31, membuat kejutan kepada sahabat baiknya, Azar Azmi, 37, sebagai mengenang kembali hubungan persahabatan mereka apabila seorang daripadanya menyepikan diri daripada industri sebelum ini.
Janna atau Nurul Jannah Muner menerusi hantaran video dikongsikan di Instagram (IG) cuba menyembunyi diri daripada Azar, namun tidak berjaya sekali gus mereka menjerit berpelukan untuk melepas rindu kerana lama tidak berjumpa.
Janna berkata, dia teruja mahu bertemu dengan seorang kawannya yang lama menghilang sekali gus menunaikan janji balik ke Malaysia untuk pertemuan bermakna itu bagi melerai perasaan rindu mereka.
“Aku dah tunaikan janji aku untuk balik jumpa kau, jadi kau kena tunaikan janji kau juga okey. Aku tak nak kau lalu jalan yang sama lagi.
“Semoga Allah limpahkan rezeki kau, bagi peluang yang seronok untuk kau,” kata Janna sebagai luahan pesanan untuk Azar agar tidak menghilangkan diri daripada industri sebagaimana terjadi sebelum ini.
Menurut Janna sambil ketawa gembira, peluangnya bertemu semula dengan Azar membuatkan dia memilih ingin marah dan tidak mahu menangis membuang air mata.
“Geram tau, hari ini kita makan sahaja. Tak payah cakap apa-apa. Aku tak nak tanya kau apa-apa pun. Hari ini kita makan saja okay,” katanya.
Sementara itu, Azar dengan linangan air mata terduduk sambil memeluk erat Janna dan meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana mempertemukan mereka semula.
‘Kau ingat kau kecil ke menyorok dekat situ.
“Ya Allah, terima kasih Ya Allah,” kata Azar sambil memeluk Janna dengan linangan air mata.
Meninjau pada ruangan komen, rata-rata netizen juga berasa sebak, gembira dan terhibur melihat persahabatan rapat antara Janna dan Azar.
“Betapa baiknya Azar ini. Semua kawan-kawan rindu dengan dia,” komen seorang warganet.
“Tanda dia (Azar) seorang pelakon yang bagus. Bukan biasa-biasa,” kata pengguna media sosial.
“Azar ni, suka dengan ‘acting’ (lakonan) dia dulu, gila-gila. Dia diam lama Stalk IG tak ada ‘update’,” tulis netizen.
“Semoga persahabatan Janna dan Azar sampai syurga… Alhamdulillah,” ujar seorang wargamaya.
Sebelum ini, Azar difahamkan hilang daripada radar industri hiburan selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, pada 2021.
Dikurniakan dua anak lelaki berusia empat dan tiga tahun, Azar menjadi perhatian ramai di media sosial selepas dia dan suami direman bagi membantu siasatan kes penipuan jualan tanah kurnia dan darjah kebesaran.
Pada 11 Mac lalu, Azar juga pelakon drama Nur 2 dan Maaf Tak Indah dibebaskan pihak polis selepas ditahan reman selama empat hari tiga malam dan akan menjadi saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




