Hulu Selangor: Jasad Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di sini, ditemukan di kawasan landai tanpa kesan kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa ditemukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) di kawasan landai dalam keadaan terlentang tanpa kesan kecederaan yang dapat dilihat serta sempurna tanpa kesan serangan haiwan liar.
“Memandangkan Nur Izzati Humaira berpakaian baju lengan panjang ketika kejadian, tiada sebarang tanda kecederaan fizikal ketara dapat dilihat pada luaran,” katanya.
Beliau berkata, mangsa ditemukan kira-kira enam meter dari sebuah denai iaitu laluan ke kawasan kebun, dengan kemungkinan remaja itu telah tersasar dari laluan asal lalu tersesat.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Terdahulu, SAR yang masuk hari keempat hari ini dimulakan pada 8 pagi tadi membabitkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




