Polis akan panggil Azam Baki bantu siasatan kes ugutan terhadap Albert Tei

Polis akan panggil Azam Baki bantu siasatan kes ugutan terhadap Albert Tei

am@hmetro.com.my

Kajang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya sudah merakam percakapan dua saksi iaitu Albert dan seorang peguam yang dikatakan menyampaikan maklumat berhubung dakwaan ugutan itu, setakat ini.

Menurutnya, selepas laporan polis dibuat oleh Albert, beliau mengadakan sidang media dan mengatakan ugutan itu diterima melalui seorang peguam.

“Kita merakam percakapan peguam yang dikatakan itu selepas kita merakam percakapan Albert dan mengenal pasti peguam itu, semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan masih berjalan dan pihaknya perlu meneliti semua sudut sebelum membuat rumusan berhubung dakwaan itu.

“Siasatan memerlukan masa dan ia perlu dibuat secara telus. Ia perlu meliputi semua sudut sebelum satu rumusan dibuat berhubung siasatan itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya memaklumkan laporan polis dibuat pada 13 Mei lalu.

Ketika ditanya sama ada Azam akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung dakwaan itu, beliau berkata, tindakan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi arahan dan nasihat lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top