Jasmin bersyukur disahkan bukan penghidap kanser rahim

Jasmin bersyukur disahkan bukan penghidap kanser rahim

KUALA LUMPUR – Pelakon, Jasmin Hamid meluahkan rasa syukur apabila disahkan masalah ketumbuhan yang dihadapinya bukan kanser rahim.

Dia berkata, ketumbuhan yang terdapat pada bahagian rahimnya itu juga semakin mengecil malah doktor tidak menyarankan dia melakukan pembedahan membuangnya

“Saya mahu berkongsi dengan semua mengenai keputusan pembedahan perut saya baru-baru ini… Doktor maklumkan saya bebas kanser rahim.

“Doktor juga beritahu cyst pada bahagian sebelah kiri pun sudah hilang manakala sebelah kanan pun sudah mula mengecut.

“Doktor beritahu mungkin saya tak perlu buat pembedahan buang ketumbuhan itu,” katanya yang berkongsi khabar gembira itu menerusi hantaran di Instagram miliknya hari ini.

Pada September lalu Jasmin terpaksa menjalani pembedahan kecil di bahagian rahimnya,
Foto Instagram Jasmin Hamid.

Bagaimanapun, kata Jasmin, 50,  dia masih perlu menjalani pemeriksaan secara berkala bagi memastikan cyst pada bahagian kanan rahimnya tidak kembali membesar.

Tidak hanya itu, doktor turut memaklumkan tahap kesihatannya juga semakin menunjukkan peningkatan.

“Doktor beritahu kesihatan saya semakin pulih, saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana sebab gembira apabila bebas daripada kanser rahim.

“Alhamdulillah ini semua dengan izin dan rahmat Allah serta berkat doa keluarga, rakan-rakan serta semua yang sayangkan saya,” ujarnya.

September lalu, Jasmin mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan kecil pada ulang tahun kelahirannya.

Kata Jasmin, dia terguris dengan komen negatif netizen yang mengutuk perubahan fizikalnya tanpa mengetahui masalah kesihatan sedang dihadapinya.

Jelasnya, perubahan itu disebabkan masalah cyst dan hormon tidak teratur sehingga dia mengalami pendarahan pada rahim.

Tahun lalu, Jasmin mengalami serangan jantung dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) namun tahap kesihatannya beransur pulih selepas mendapat rawatan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top