sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Siapa bakal menduduki ‘kerusi panas’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club (TFC) pada musim ini?
Ini persoalan bermain dalam minda peminat setia skuad Penyu itu selepas penyandang terdahulu, Mohd Sabri Abas bertukar portfolio awal bulan ini.
Menurut sumber, jawatan itu kini dibuka kepada individu yang berminat, namun mereka perlu melalui proses ketat termasuk temu duga sebelum diumumkan menduduki kerusi itu.
“Setakat ini jawatan itu (CEO TFC) masih kosong selepas Mohd Sabri dilantik ke jawatan lain pada 4 Mei lalu.
“Kebiasaannya jawatan CEO itu dilantik, tapi bagi memperkasakan lagi kelab, pihak pengurusan tertinggi TFC Sdn Bhd membuka peluang kepada orang ramai yang berkelayakan untuk memohon.
“Setakat ini sudah ada beberapa individu berkelayakan menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan itu, tapi kita tunggu dan lihat kesudahannya.
“Tapi saya percaya dalam masa terdekat ini, kerusi itu akan diisi bagi memastikan perjalanan pasukan TFC pada musim 2025/2026 ini lancar,” ujar sumber itu ketika ditemui dekat sini.
Terdahulu Ab Rasid Jusoh dilantik sebagai CEO pertama TFC bermula 15 Oktober 2020 sebelum Mohd Sabri mengambil alih jawatan itu sejak 9 Oktober 2023.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin mengharapkan CEO baharu nanti dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan.
Tambahnya, individu itu mestilah seorang yang minat dalam sukan berkenaan bagi memastikan pembangunan bola sepak di Terengganu terus berkembang dan cemerlang.
“Kami tidak kisah siapa yang mengisi jawatan itu, tapi biarlah betul-betul berkelayakan bagi memastikan pembangunan bola sepak di negeri ini terus subur dan berdaya saing selain tiada isu-isu berbangkit seperti masalah pembayaran gaji,” katanya ketika dihubungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




