JBPM siasat anggota bomba bantuan terpalit video lucah – KP

JBPM siasat anggota bomba bantuan terpalit video lucah – KP

am@hmetro.com.my

Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggota bomba bantuan dikaitkan dengan video lucah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Nor Hisham Mohammad berkata, walaupun individu dalam video berkenaan tidak memakai pakaian seragam, siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan beberapa hantaran lain di akaun media sosial milik lelaki itu yang menunjukkan individu itu memakai uniform bomba.

Menurutnya, Unit Integriti JBPM sudah diarahkan untuk menubuhkan pasukan siasatan bagi mengenal pasti punca penyebaran video tersebut serta mengesahkan identiti sebenar anggota terbabit.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasat terlebih dahulu sama ada video itu dimuat naik oleh individu terbabit secara sukarela atau disebarkan oleh pihak lain.

“Jika siasatan mengesahkan pembabitan individu itu, tindakan penggantungan kerja boleh dilaksanakan serta-merta berdasarkan skim perkhidmatannya.

“Kes terbaharu ini membabitkan anggota dalam skim bomba bantuan iaitu bukan perkhidmatan sepenuh masa.

“Tindakan gantung kerja boleh diambil serta-merta terhadap anggota terbabit sekiranya wujud berlaku kesalahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Program MADANI Rakyat Kebombaan Komuniti (PMRKK) di Akademi Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, JBPM juga tidak berkompromi dalam isu integriti dan sentiasa memantau tingkah laku serta kandungan media sosial anggota dan pegawai meskipun tiada aduan rasmi diterima.

“Kadang-kadang bukan orang lapor, tapi kita sendiri yang mengesan kandungan tidak wajar dilakukan dan terus kita ambil tindakan.

“JBPM juga meneliti perundangan berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap individu yang terbabit dalam kes itu,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pegawai dan anggota terikat dengan klausa tertentu justeru beliau mengingatkan semua pegawai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, sebarang pelanggaran undang-undang dan etika sama ada kecil atau besar kita tidak berkompromi dan siasatan tetap kita jalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top