sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Empat gol jaringan pemain kebangsaan, Muhamad Ridzwan Bakri membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Pahang Rangers FC 7-6 pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 musim 2025 di Stadium Tertutup Sukpa, di sini, semalam.
Pada perlawanan yang begitu sengit itu, jaringan pemain kelahiran Sabah itu hadir seawal minit ke- 4, 24, 30 dan 40. Tiga gol lagi disumbang oleh Awalluddin Mat Nawi pada minit ke-16, Aguiar Bruno Taffy (21) dan Mohd Firdaus Ambiah (36).
Gol tuan rumah disumbang oleh Matheus Moura pada ke-7, Muhammad Razin A Rahim (8), Felipe de Souza (20 dan 33), Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir (22) dan Tuah Eizlan Aminuddin (29).
Rata-rata peminat setia Pahang Rangers berpendapat badi tewas kepada JDT pada perlawanan pusingan pertama masih belum dapat dikikis oleh barisan pemain Tok Gajah yang tiga kali berada di hadapan sebelum lawan bangkit dan mendapat gol kemenangan pada penghujung permainan.
Mereka berpendapat kekalahan tipis semalam disebabkan kecuaian penjaga gol utama, Zainulzahin Sinuan yang dilihat semakin longgar prestasinya berbanding sebelum ini apabila menjadi benteng terakhir yang begitu utuh.
Bagi Mohammad Faizal Amri, kekecewaan peminat memenuhi stadium begitu terasa apabila kelebihan beraksi di gelanggang sendiri tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh barisan pemain untuk mencatat kemenangan yang amat diperlukan.
“Saya berharap jurulatih, Luis Fonseca menilai semula prestasi beberapa pemain yang beraksi dibawah prestasi sebenar, mereka perlu direhatkan dalam tempoh tertentu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




