KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan trofi Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di TM Stadium Nasional, sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak diraih dengan mudah oleh anak buah Xisco Munoz apabila The Cats memberikan tentangan sengit sebelum kedua-dua gol Harimau Selatan terhasil pada babak-babak terakhir perlawanan.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik pada awal permainan dengan peluang JDT hadir seawal minit kelapan menerusi Marcos Guilherme yang hampir membuka tirai jaringan, namun, percubaannya dinafikan pertahanan The Cats.
Tiga minit kemudian, Bergson Da Silva berjaya meledak jaringan untuk JDT, namun gol berkenaan dibatalkan pengadil selepas pengadil mengesan berlaku kekasaran terhadap pertahanan Kuching City.
Pada minit ke-19, Ramadhan Saifullah memperoleh peluang keemasan untuk meletakkan Kuching City di hadapan menerusi hasil hantaran silang Joao Pedro, namun percubaannya sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, anak buah Munoz tampil dengan corak permainan yang lebih agresif menekan lawan untuk mencari gol pembukaan, namun disiplin tinggi pertahanan Kuching city menafikan setiap gerakan JDT.
Pada minit ke-61, Kuching City berpeluang mengubah skrip perlawanan apabila Ramadhan Saifullah dijatuhkan di dalam kotak penalti, namun pemain itu gagal memanfaatkan peluang keemasan apabila sepakan leretnya tersasar di sebelah kanan gawang.
Tersentak dengan tekanan Kuching City, JDT yang juga juara Liga Super musim 2025/2026 itu memperkemaskan rentak permainan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi penyudah kemas Marcos Guilherme, sekali gus meletakkan JDT di hadapan 1-0.
Pemain gantian, Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas berehat panjang hampir bulan akibat kecederaan membuktikan dirinya ‘tidak berkarat’ apabila meledak gol kedua untuk JDT.
Pada masa kecederaan, seorang lagi pemain gentian, Stuart Wilkin berjaya meledak jaringan, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid dan selepas itu tiada tambahan jaringan dengan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga ke wisel penamat untuk JDT menjulang trofi Piala Malaysia.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menempa satu lagi sejarah baharu apabila menjadi satu-satunya pasukan Liga Malaysia ‘quadruple’ buat empat musim berturut-turut.- UTUSAN




