Kuala Lumpur: Kawasan Pandan kini menjadi Parlimen angkat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan perkara itu berkata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan.
Menteri Besar Selangor itu berkata keputusan diambil pimpinan parti berkenaan adalah bagi mengatur semula pentadbiran pusat khidmat parlimen dan jentera parti di kawasan terbabit.
“Jadi kita aturkan (Tengku Zafrul) sebagai wakil kerajaan dan pastinya wakil Perdana Menteri (Anwar) di kawasan Pandan itu,” katanya dalam ucapan pada Himpunan Setia Keadilan Pandan di sini malam ini.
Amirudin berkata, pemilihan Tengku Zafrul bagi ‘menjaga’ kawasan Pandan adalah atas permintaan Anwar sendiri, memandangkan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu mahu lebih agresif dalam lapangan politik di Selangor.
“Tengku Zafrul juga kita beri tanggungjawab untuk menjadi pegawai pemantau untuk Parlimen Ampang (cuma) pimpinan di Ampang itu ahli parti (PKR) jadi saya tak nak kacau lagi. Kalau di Ampang ada terjadi apa-apa, Tengku Zafrul boleh tengokkan sekali,” katanya.
Beliau berkata biarpun berhadapan cabaran menguruskan kawasan yang dikosongkan bekas pemimpin PKR, ia sama sekali tidak mengganggu atau melemahkan khidmat dan operasi parti berkenaan.
“Ini bukan perkara baharu, kita sudah alami dahulu seperti kes bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali (Parlimen Gombak) dan bekas Naib Presiden Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), itulah yang kita buat (jaga pentadbiran), hasilnya Ampang kemenangan kita lebih besar berbanding pilihan raya sebelumnya,” katanya.
Pada 17 Mei lepas, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 18 Mei, sebelum keluar daripada PKR berkuat kuasa 19 Mei.
Sementara itu, Tengku Zafrul di pentas sama hari ini berkata beliau berharap mendapat sokongan penuh pimpinan dan akar umbi PKR di Pandan bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan itu.
“Saya perlukan teguran dan bimbingan daripada teman-teman. Saya amat mengharapkan saudara-saudari semua bersama-sama dengan saya menjelajah seluruh pelosok Ampang dan Pandan, di segenap sudut taman mahupun desa.
“Saya bukan yang terbaik, tetapi insya-Allah saya akan memberikan komitmen bahawa saya akan cuba sedaya upaya untuk mengetuk setiap rumah rakyat yang memerlukan pertolongan tanpa memilih latar belakang, agama, mahupun warna kulit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




