JDT julang Liga Super kali kelapan berturut-turut

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) dimahkotakan juara Liga Super untuk musim kelapan berturut-turut selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim di Johor, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora menghimpun 51 mata berbaki dua perlawanan dan sukar dipintas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) yang terpaksa merelakan kejuaraan liga menjadi milik skuad Harimau Selatan.

Dalam perlawanan itu, penyerang Bergson Da Silva menjadi wira tuan rumah apabila menjaringkan hatrik yang semuanya dijaringkan pada babak pertama sekali gus menjadikannya sebagai pendahulu penjaring terbanyak dengan 23 gol, satu gol meninggalkan ayam tambatan Selangor, Ifedayo Olusegun.

Berhadapan dengan Sri Pahang yang agak tempang tanpa beberapa pemain utama, JDT jelas menunjukkan penguasaan permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Sri Pahang kini perlu bekerja keras untuk menjauhi zon penyingkiran apabila kekal di tangga ke-10 dengan 17 mata, hanya berkelebihan empat mata di hadapan Perak. – MalaysiaGazette