mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta kembali kemenangan pada kempen pra-musim lebur apabila mereka sekali lagi tumpas, kali ini kepada kelab dari Qatar Al-Rayyan SC, dengan keputusan 0-1, awal pagi tadi.
Kekalahan itu yang kedua berturut-turut buat skuad Harimau Selatan selepas tewas kepada Valencia Mestalla sebelum ini, sekali gus menyaksikan momentum kemenangan mereka terganggu di bumi Sepanyol.
Dalam aksi terbabit, JDT menurunkan semula beberapa tonggak utama yang direhatkan sebelum ini antaranya tiga pemain warisan Malaysia, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Hector Hevel, bagi menguatkan kesebelasan utama.
Namun, percaturan itu masih belum membuahkan hasil apabila barisan serangan JDT gagal memecahkan benteng kental pasukan Al-Rayyan yang beraksi penuh disiplin sepanjang perlawanan.
Gol tunggal perlawanan hadir ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan menerusi jaringan pemain tengah bertahan Belgium, Julien De Sart, yang menyempurnakan peluang terhidang dalam kotak penalti.
Jaringan itu cukup untuk meletakkan Al-Rayyan sebagai pemenang pada perlawanan yang berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling menguji keampuhan pertahanan masing-masing.
Meskipun beraksi dengan semangat juang tinggi, JDT dilihat masih mencari keserasian dalam beberapa posisi terutama di bahagian tengah dan serangan yang tampak tumpul dalam dua perlawanan terakhir.
Pertemuan ini turut menyaksikan beberapa percubaan berbahaya daripada Figueiredo dan Hevel namun digagalkan penjaga gol lawan yang beraksi cemerlang.
Dengan hanya baki satu lagi aksi pra-musim menentang Al-Arabi di Oliva Nova pada 19 Julai ini, JDT perlu segera merumuskan formula terbaik bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya menjelang musim baharu Liga Malaysia.
Juara 11 kali berturut-turut Liga Super itu dijangka terus menguji barisan pemain utama mereka dalam aksi terakhir nanti sebelum pulang ke tanah air bagi menghadapi kempen Liga Super.
© New Straits Times Press (M) Bhd




