JDT mara ke final Piala FA lima kali berturut-turut

JDT mara ke final Piala FA lima kali berturut-turut

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke final Piala FA buat kali kelima berturut-turut selepas menang 6-1 ke atas DPMM FC dan layak dengan agregat 8-1 pada aksi timbal balik separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.

Sebaik babak pertama bermula, DPMM FC tampak beri tekanan kepada JDT bagi memburu gol untuk mengurangkan defisit jaringan namun anak didik McAllister masih belum mampu menewaskan benteng ampuh Harimau Selatan.

Sedar kesungguhan pasukan lawan cuba untuk memburu gol, JDT mula mengatur serangan dan pada minit kesembilan menerusi bola sepakan sudut Yago Cesar hampir menemui sentuhan penyudah namun bola tandukan Jairo da Sllva hanya sisi dari gawang gol.

Walaupun selama setahun tidak beraksi akibat penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sentuhan penyudah Joao Figueiredo masih berbisa selepas menanduk bola masuk pada minit ke-27 menewaskan penjaga gol DPMM FC, Haime Abdullah Nyaring berpunca daripada bola umpanan Oscar Arribas.

Skuad Harimau Selatan terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-38 selepas bola sepakan sudut Yago menyasikan Jairo melonjak tinggi dan menanduk bola namun tiang gol sebelah kanan menjadi penghalang ketika Haime Abdullah sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, anak didik McAllister berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-49 selepas Miguel Oliveira bertindak merampas daripada Kevin Medina dan mengumpan bola kepada Dalberto Belo yang kemudian melorongkan bola kepada Jordan Murray yang merembat bola leret menewaskan penjaga gol JDT, Christian Abad.

Jairo kempunan untuk mencipta pada minit ke-55 selepas bola lorongan pemain gantian Nacho Mendez menyaksikan dia melencongkan bola ke penjuru kiri gawang gol namun Haimie Abdullah sempat melayangkan badan dan menepis bola keluar.

JDT kembali mendahului pada minit ke-59 dan ianya bermula dengan rembatan leret Jairo walaupun di tampan Haimie Abdullah namun bola muntah di sambar Manuel Hidalgo yang pantas merembat bola untuk meletak Harimau Selatan selesa dengan jaringan 2-1 dan agregat 4-1.

Tuan rumah terus menghukum kerapuhan benteng DPMM FC pada minit ke-63 apabila rembatan Mendez gagal ditampan dengan kemas Haimie Abdullah dan membolehkan Arribas yang tidak di kawal merembat kencang untuk meletak kedudukan 3-1 dan agregat 5-1.

Akhirnya Jairo menemui sentuhan penyudah pada minit ke-66 apabila bola umpanan Mendez dari luar kotak penalti membolehkan pemain import dari Brazil menanduk bola tepat ke penjuru kiri menewaskan Haimie Abdullah yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Firdaus Dahlan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan Nurikhwan Othman dan pemain gantian, Daniesh Amirrudin mudah menjaringkan gol.

JDT terus mengganas pada minit akhir perlawanan selepas bola sepakan sudut pemain gantian Ager Aketxe menyaksiikan pemain gantian Marcos Guilherme mudah menanduk masuk untuk melengkapkan kemenangan 6-1 dan mara ke final dengan agregat 8-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top